Sabah Football Club

Liga MFL: Rozaimi cedera, terlepas beraksi menentang Perak FC II pada 28 Mei di Stadium Likas – Abdul Kassim

KOTA KINABALU : Penyerang berpengalaman Sabah FC II Rozaimi Abdul Rahman terlepas beraksi menentang Perak FC II Piala Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) pada 28 Mei di Stadium Likas akibat kecederaan.

Pengurusnya, Datuk Abdul Kassim Razali berkata, Rozaimi memerlukan rehat 100 peratus sebelum kembali beraksi sepenuhnya selepas mengalami kecederaan ketika perlawanan pertama menentang JDT II, isnin lalu.

Katanya, beliau yakin ketua jurulatih, Johnny Dominicus sudah mempunyai perancangan rapi termasuk menyusun strategi bagi mengisi kekosongan Rozaimi sekaligus mampu mencatat kemenangan pertama beraksi dilaman sendiri nanti.

“Kita yakin Johnnya akan dapat mencorak beberapa strategi penting dalam sesi latihan nanti, selepas melihat aksi ketika menentang JDT II yang lalu.

“Secara keseluruhan saya berpuas hati dengan komitmen ditunjukkan pemain meskipun tewas 3-0 kepada JDT II,” katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

Abdul Kassim berkata, Sabah FC II menyasarkan untuk bangkit daripada episod kekalahan lalu serta memastikan misi ‘menang’ ketika menentang Perak FC II dalam saingan Piala MFL nanti.

“Sabah FC II perlu memperbaiki kelemahan serta menggunakan pengalaman berharga itu untuk menunjukkan komitmen serta kesungguhan mereka untuk meneruskan aksi yang terbaik pada perlawanan seterusnya.

“Semangat pada perlawanan menentang JDT II perlu dikekalkan sekali gus ditingkatkan ketika beraksi di laman sendiri. Ketika itu Sabah FC II berjaya memberi saingan hebat apabila hanya dibolosi pada minit ke-30 separuh masa pertama,” jelas Abdul Kassim.

Menurutnya, beliau memuji kesungguhan penjaga gol Sabah FC II kerana berjaya mempamerkan aksi cemerlang selepas menyelamatkan sepakan penalti JDT II.

“Kita mengharapkan agar keserasian pemain dapat diperbaiki dan dipertingkatkan menjelang  perlawanan menentang Perak FC II pada 28 Mei ini. 

“Ayuh…Kepada semua penyokong tegar Sabah FC II agar turun beramai-ramai serta memberikan sokongan padu kepada aksi mereka di laman sendiri,” kata Abdul Kassim.