Sabah Football Club

Sabah FC ambil tindakan terhadap pemilik portal siarkan kejadian pesawat terhempas babitkan pemainnya – Rafie Robert

KOTA KINABALU : Sabah FC menafikan laporan berita portal online melaporkan ‘Nahas Pesawat Tragis Meragut Nyawa Pemain Terbaik Sabah FC’ di sini hari ini.

Pengurus Sabah FC, Rafie Robert berkata laporan berita itu adalah tidak benar manakala pihaknya menimbang untuk membuat laporan polis dalam tempoh terdekat agar pihak berkuasa dapat mengambil tindakan yang sewajarnya.

Katanya Sabah FC pada ketika ini sedang menjalani latihan untuk menghadapi pertemuan perlawanan persahabatan dengan Tawau FA pada 12 Oktober ini.

“Beberapa pemain termasuk Stuart Wilkin, Dominic Tan, Daniel Ting dan Darren Lok dipanggil ke skuad kebangsaan untuk perlawanan persahabatan menentang New Zealand di Stadium North Harbour, Auckland pada 14 Oktober ini.

“Laporan portal ini dilihat berniat jahat serta menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pihak pengurusan Sabah FC serta peminat bola sepak di negeri ini.

“Kami akan membuat laporan polis dalam tempoh terdekat untuk memastikan perkara ini tidak berulang di masa depan sekali gus memastikan tahap keselamatan pemain Sabah FC sentiasa terpelihara,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Dalam laporan portal dikenali sebagai Newsstation.COM itu mendakwa dunia bola sepak sedang berduka selepas nahas kapal terbang yang dahsyat meragut nyawa beberapa pemain terbaik Sabah F.C.

Kemalangan tragis itu berlaku dalam perjalanan ke perlawanan liga yang penting, membuatkan peminat dan komuniti bola sepak global terkejut dan tidak percaya.

Laporan menunjukkan bahawa penerbangan sewa yang membawa pemain dan beberapa kakitangan kejurulatihan Sabah FC sedang menuju ke perlawanan di tempat lawan apabila pesawat itu mengalami pergolakan teruk dan terputus hubungan dengan kawalan trafik udara.

Tidak lama selepas itu, pesawat itu jatuh di kawasan terpencil, menjadikan usaha menyelamat mencabar.

Rafie berkata setakat ini semua pemain serta pihak pengurusan Sabah FC berada dalam keadaan selamat sekali gus tiada kejadian seperti yang dilaporkan.

“Orang ramai khususnya peminat sukan bola sepak di Sabah diingatkan agar tidak mudah percaya terhadap laporan yang sengaja menimbulkan kekeliruan pada masa kini.

“Sabah FC masih meneruskan perancangannya menjalankan sesi latihan dibawah kendalian Ketua Jurulatihnya, Datuk Ong Kim Swee,” jelas Rafie.