KOTA KINABALU: Sabah FC melihat pergerakan keluar masuk pemain semasa jendela perpindahan kedua musim ini sebagai satu proses biasa dalam bola sepak profesional dan langkah strategik untuk pembangunan pasukan.
Pengurus Besar Sabah FC, Md Joh Wid berkata walaupun kehilangan beberapa pemain utama lebih awal daripada jangkaan, namun sebaliknya perubahan tersebut memberi peluang kepada kelab memperkukuh pasukan bagi jangka masa pendek dan panjang.
Menurut beliau, kemasukan pemain import baharu dengan pengalaman berbeza membantu meningkatkan daya saing pasukan selain memberi pendedahan penting kepada pemain tempatan.
“Matlamat utama perpindahan ini adalah mempercepatkan pembangunan pemain tempatan khususnya mereka yang dinaikkan daripada skuad B-23 musim sebelumnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, latihan harian dan perlawanan bersama pemain import baharu dijangka dapat meningkatkan kematangan serta kefahaman taktikal berbeza untuk pemain muda khususnya.
Dalam masa sama, Md Joh Wid menjelaskan strategi perpindahan itu turut memberi kesan positif terhadap kewangan kelab.
“Pengurusan bajet yang lebih efisien membantu memastikan kedudukan kewangan Sabah FC berada dalam keadaan stabil dan positif,” katanya.
Sabah FC yakin pemain-pemain baharu yang dibawa masuk mampu memberikan sumbangan bermakna dalam menghadapi baki saingan Liga Super musim ini serta menyokong perancangan jangka panjang kelab.




