KOTA KINABALU: Pemain import baharu Sabah FC, Chris Marlon Ondong Mba menyifatkan keputusannya menyertai skuad The Rhinos sebagai satu langkah penting dalam karier profesionalnya, selain peluang membuka lembaran baharu cabaran bola sepak di Asia.
Chris berkata, meskipun menerima beberapa tawaran lumayan untuk kembali beraksi di Eropah, keinginannya untuk terus menguji kemampuan diri di Asia mendorongnya memilih Sabah FC sebagai destinasi seterusnya.
“Saya perlukan cabaran baharu. Saya berpeluang kembali ke Eropah dengan tawaran yang baik, namun selepas pengalaman mencabar di China akibat beberapa isu di luar padang, saya memilih untuk kekal di Asia.
“Saya meninggalkan Eropah dengan kejayaan dan bagi saya, kejayaan di Asia juga sama penting. Saya seorang pemain yang hidup dengan cabaran setiap hari,” katanya.
Mengulas peranannya bersama Sabah FC, Chris menyifatkan dirinya sebagai pemain versatil yang mampu beraksi sebagai penyerang atau pemain sayap, sekali gus memberi lebih banyak pilihan taktikal kepada pasukan.


“Saya gemar situasi satu lawan satu, aktif mencari ruang, menggunakan kepantasan serta melakukan larian berulang.
“Sebagai penyerang, saya suka menekan pertahanan lawan dan bermain di kawasan tinggi untuk memberi tekanan kepada lawan,” jelasnya.
Chris turut menegaskan persaingan sengit dalam jentera serangan Sabah FC bukan satu tekanan, sebaliknya menjadi pemangkin untuk meningkatkan prestasi.
“Saya hanya fokus kepada diri sendiri dan melakukan yang terbaik dalam latihan. Kepercayaan yang diberikan oleh kelab ini mahu saya balas dengan kerja keras.
“Memberikan 100 peratus kepada rakan sepasukan, kelab, negeri Sabah dan penyokong adalah keutamaan saya. Dengan disiplin, kesabaran dan kerja keras, keputusan positif akan menyusul,” katanya.
Kehadiran Chris dijangka memperkukuh jentera serangan Sabah FC untuk baki saingan Liga Super dan MFL Challenge Cup.




