Sabah Football Club

Sabah FC tuntut pemain tunjukkan prestasi terbaik mereka

KOTA KINABALU: Pengendali “The Rhinos”, Datuk Ong Kim Swee mahu anak-anak buahnya mempamerkan prestasi terbaik pada perlawanan terakhir menentang Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dalam saingan Piala Sabah Maju Jaya (SMJ Cup) 2022 malam esok di Stadium Likas, Kota Kinabalu.

Katanya, meskipun KDA FC mempunyai kelebihan jumlah jaringan gol namun para pemain Sabah FC perlu memperbaiki lagi rentak serta melipatgandakan mutu permainan berbanding perlawanan pertama dan kedua sebelum ini.

“Kita tahu pasukan KDA FC merupakan pasukan ‘favourite’ dan kalau kita lihat daripada jumlah jaringan gol mereka jauh lebih baik dan lebih bersedia kali ini.

“Namun kita tidak mempunyai pilihan selain memperbaiki corak pemainan berbanding sebelum ini. Sudah tentu saya ingin melihat satu persembahan yang lebih baik terutama pada perlawanan terakhir piala SMJ esok.

Perlawanan terakhir itu penting bagi memastikan para pemainnya benar-benar bersedia sebelum menghadapi perlawanan pertama Liga Super yang dijangka bermula dalam tempoh dua minggu lagi”, katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan di Kota Kinabalu hari ini.

Mengulas mengenai jumlah pemain yang bersedia untuk diturunkan pada perlawanan terakhir malam esok, Kim Swee berkata ia bergantung kepada keadaan kecergasan pemain.

“Saya tidak pasti berapa ramai lagi yang boleh bermain untuk perlawanan esok. Ini terpulang kepada keadaan kecergasan pemain esok pagi dan tidak kira berapa ramai pemain yang kita ada kurang ataupun banyak kita harus bersiap sedia.

“Semua pemain merupakan pemain yang penting, tidak kira mereka kesebelasan utama ataupun tidak di mana perkara ini mungkin akan berulang pada saingan liga nanti jadi semua pemain harus bersiap sedia jika diturunkan.

“Jadi mahu tidak mahu semua pemain harus bersiap sedia jika diturunkan malam esok… Saya inginkan mereka menunjukkan prestasi yang lebih baik daripada apa yang mereka tunjukkan sebelum ini,” katanya.

Sabah FC akan bertemu KDA FC pada saingan Piala SMJ 2022 di Stadium Likas esok bermula jam 9 malam.

KDA FC kini berada ditangga pertama dengan kelebihan empat jaringan manakala Sabah FC berada dikedudukan kedua dengan hanya mengutip tiga mata.