Sabah Football Club

Sabah FC Logo

KDA FC Muncul Juara Piala SMJ 2022

KOTA KINABALU : Meskipun tewas 0-1 kepada Sabah FC namun Kedah Darul Aman (KDA) FC muncul juara Piala Sabah Maju Jaya (SMJ) 2022 selepas mempunyai kelebihan perbezaan jaringan.

KDA FC memiliki pungutan mata sama dengan TRW Kelantan FC sekaligus merangkul juara di Stadium Likas, Kota Kinabalu malam tadi.

Sabah FC berjaya menghasilkan jaringan selepas pemain import skuad Badak Altemir Cordeiro Pessoa Neto menjaringkan gol pada minit ke-52.

Sementara itu, Ketua Jurulatih KDA FC Aidil Sharin Sahak berkata beliau berpuas hati dengan rentak permainan ditunjukkan anak buahnya sepanjang kejohanan itu.

“Apa yang penting kita telah mencapai objektif untuk melakukan persediaan menghadapi saingan Liga Super Mac ini.

“Kejohanan ini sangat tepat pada penganjurannya, baik untuk kecergasan dan persediaan pada pasukan yang terlibat dalam kejohanan empat penjuru ini,” katanya dalam sidang media selepas tamat perlawanan malam tadi.

Dalam perkembangan berkaitan Ketua Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee berkata meskipun bermain tanpa beberapa pemain utama ekoran mengalami kecederaan namun anak buahnya mampu menunjukkan aksi terbaik dengan memberi semangat kepada pasukan kendaliannya.

“Matlamat kita bukan untuk menjadi juara, apa yang penting kita dapat tiga perlawanan yang cukup penting buat persiapan kita.

“Meskipun bermain tanpa beberapa pemain utama namun pemain yang beraksi mampu beraksi dengan baik selepas ini,” katanya.

Kim Swee berkata Sabah FC juga telah menunjukkan peningkatan dari satu perlawanan ke satu perlawanan lain dan ianya dapat memberikan satu suntikan moral kepada pasukan.

Katanya pemain juga tidak boleh terbawa-bawa dengan kemenangan yang ada namun tetap dapat memberi keyakinan kepada semua untuk Sabah FC beraksi dengan lebih baik lagi.