Sabah Football Club

Sabah FC Logo

Sabah FC sasar berada dalam 5 tempat teratas Liga Malaysia

KOTA KINABALU: Sabah FC meletakkan sasaran untuk berada di kedudukan lima tempat teratas dalam persaingan Liga Malaysia 2022 yang dijangka bermula awal Mac depan.

Pengendalinya, Datuk Ong Kim Swee, berkata setiap pemain, jurulatih serta pegawai pasukan sudah tentu inginkan lebih daripada sasaran itu berdasarkan persiapan sedia ada.

“Saya berharap kita mampu mencapai melebihi daripada apa yang kita inginkan…Namun kita tidak boleh terburu-buru sehingga bersikap sambil lewa dalam mengharungi setiap perlawanan.

“Daripada satu perlawanan ke satu perlawanan jika kita mampu mencapai kejayaan, saya percaya kita mempunyai peluang terbaik untuk mencipta sejarah atau pun melakar satu kejayaan terbaik buat pasukan Sabah FC musim ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas pelancaran Jersi Sabah FC di Kota Kinabalu semalam.

Mengulas mengenai kesebelasan utama menjelang Liga Malaysia Mac depan menentang Negeri Sembilan FC, Kim Swee berkata selepas mengharungi tiga perlawanan pra musim beliau masih belum mendapat senarai barisan utama memandangkan terdapat masalah kecederaan dalam kalangan pemain.

“Saya masih belum mendapat kesebelasan terbaik untuk diturunkan dalam setiap perlawanan. Ada dalam kalangan pemain masih dibelenggu kecederaan di samping mempunyai masalah tertentu.

“Namun saya percaya dalam dua minggu akan datang keserasian dalam kalangan pemain akan bertambah baik sekali gus memudahkan kita memilih kesebelasan utama kelak,” katanya.

Kim Swee berkata perlawanan pertama Piala Sabah Maju Jaya (SMJ Cup) Sabah FC tewas kepada Kelantan FC dan seterusnya menang menentang Sarawak FC seterusnya menunjukkan satu disiplin cukup baik apabila menang ketika bertemu Kedah FC meski pun tanpa pemain-pemain utama.

“Kita ucapkan terima kasih pada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor walaupun sibuk tugasannya tapi hadir bersama pemain serta pegawai.

“Ini pasti akan memberi motivasi kepada semua terlibat dalam Sabah FC untuk kita melakar sesuatu pada tahun ini sekaligus memberi satu keyakinan dalam mengharungi musim liga baru ini, ” katanya.