Sabah Football Club

Sabah FC Logo

Kim Swee percaya Sabah FC akan bertambah baik, pemain harus diberi masa

KOTA KINABALU: Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee percaya pasukannya akan bertambah baik dari semasa ke semasa.

Justeru, bekas jurulatih kebangsaan itu mahu setiap pemain termasuk pemain import Neto Pessoa, Jackson De Souza, Taiki Kagayama, Taesu Park dan Saddil Ramdani harus diberi masa.

“Pemain-pemain ini hanya dikumpul selama dua bulan…walaupun mereka merupakan pemain-pemain yang berkualiti tetapi sesebuah pasukan memerlukan masa untuk dibentuk.

“Hanya masa menentukan tetapi untuk mengkritik pemain selepas satu atau dua perlawanan…saya rasa itu tidak adil, mereka harus diberi peluang,” katanya kepada media selepas perlawanan Liga Super Malaysia antara Sabah FC menentang PJ City FC di Stadium Likas di sini, malam tadi.

Kemenangan 3-1 terhadap PJ City FC itu penting selepas Sabah FC tewas kepada Negeri Sembilan FC 0-1 pada perlawanan pertama, Jumaat lepas di laman sendiri.

Mengulas aksi menentang PJ City FC itu, Kim Swee berkata beliau berpuas hati dengan persembahan para pemainnya yang sangat baik berbanding ketika aksi menentang Negeri Sembilan FC minggu lalu.

“Pemain dapat melakukan penyudah baik untuk menjaringkan gol kali ini walaupun daripada sepakan sudut dan sepakan percuma..tetapi ini merupakan senjata di mana pastinya akan membantu kita pada perlawanan akan datang.

“Yang penting di sini…pemain menunjukkan kesungguhan dan mereka tahu walaupun mereka bukan pemain tempatan tetapi mereka bermain untuk pasukan Sabah FC,” katanya.

Bagi saingan Liga Super Malaysia ini, perlawanan seterusnya Sabah FC akan menentang Melaka United FC di Stadium Hang Jebat Melaka pada 5 April.

Manakala saingan Piala FA, Sabah FC menentang Respect FC di Stadium Likas Kota Kinabalu pada Sabtu ini.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *