Sabah Football Club

Sabah FC Logo

Jangan Ambil Mudah dan Bersikap Sambi Lewa

Para pemain Sabah FC diingatkan agar tidak mengambil mudah dan bersikap sambil lewa dalam setiap perlawanan Liga Malaysia khususnya dalam saingan suku akhir Piala FA menentang Selangor FC di Stadium Likas, Kota Kinabalu malam esok.

Ketua Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee berkata para pemain juga perlu terus kekal fokus bagi memastikan pasukan tidak ketinggalan jaringan yang akan menyebabkan pemain perlu menggandakan usaha sehingga ke minit-minit akhir perlawanan.

“Perlawanan akan datang merupakan perlawanan Piala FA, ianya berbeza dengan Liga Super. Kita tahu ini perlawanan kalah mati di mana jika kita tewas kita akan terkeluar daripada saingan Piala FA.

“Kita tahu apabila bermain di tempat sendiri dan mempunyai penyokong yang sentiasa menyokong kita, sudah pasti kita perlu berada pada tahap terbaik. Saya percaya Selangor merupakan antara pasukan terbaik di negara kita ketika ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kim Swee berkata meskipun Selangor FC tidak begitu baik dalam saingan Liga Super namun mereka mempunyai ramai pemain yang berkualiti yang boleh digunakan selain dapat menukar pemain-pemain import yang mereka ada daripada Selangor FC 2.

“Jadi kita tidak boleh mengambil mudah dan dalam setiap perlawanan kita harus mengawal situasi kerana tidak mahu melihat kita ketinggalan lagi sehingga terpaksa menggandakan usaha kita pada separuh masa kedua ataupun pada minit-minit terakhir.

“Di sini kita harus berada dalam situasi yang berbeza daripada apa yang kita tunjukkan ketika bermain dengan Terengganu FC,” katanya.

Sementara itu, Kim Swee berkata beberapa pemain utama dan pertahanan kini masih mengalami kecederaan antaranya Saddil Ramdani; Jackson De Souza; Park Taesu dan Jose Embalo.

“Embalo mengalami kecederaan dan walaupun saya tahu beliau tidak menunjukkan prestasi yang begitu baik tetapi beliau tetap akan disenaraikan dan saya akan lihat terutama daripada segi kecederaan sama ada beliau bersedia atau tidak untuk diturunkan.

“Dan jika tidak sudah tentu ada ramai lagi pemain lain yang boleh diturunkan dan saya harap sesiapa sahaja yang diturunkan malam esok mampu memberikan satu prestasi yang lebih baik daripada apa yang kita tunjukkan sebelum ini,” katanya.