Sabah FC perlu memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri meskipun tanpa kelibat beberapa pemain utama seperti Stuart, Darren Lok, Daniel Tinga dan Dominic Tan menjelang pertemuan menentang Perak FC dalam saingan suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Likas jumaat ini.
Pengendalinya Datuk Ong Kim Swee berkata Sabah FC perlu berhati-hati berikutan Perak pernah mengejutkan Kedah dan menuntut komitmen para pemain agar lebih fokus untuk mencatat kemenangan penting jumaat nanti.
Katanya pemain-pemainnya tidak boleh mengambil mudah atau selesa ketika beraksi di Stadium Likas kerana mereka perlu mendapatkan bekalan mencukupi untuk aksi timbal balas di Stadium Perak kelak.
Mengulas ketiadaan empat tonggak utama ini Kim Swee berkata, setakat ini tidak banyak perbezaan berikutan pemain telah melalui proses latihan daripada awal tahun sehingga hampir penghujung tahun.
“Kita mempunyai percaturan penting jumaat ini dengan meletakkan beberapa pemain lain yang telah lama tidak diturunkan.
“Mereka akan mengalas tugas penting jumaat ini. Apa yang penting mereka perlu bermain secara ‘Team Work’ sekali gus menunjukkan komitmen tinggi dalam perlawanan ini nanti,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
“Jadi daripada segi persiapan dan taktikal saya tidak nampak kita akan mempunyai banyak masalah walaupun dengan ketiadaan beberapa pemain lain yang terlibat bersama pasukan kebangsaan.
“Apa yang penting beberapa pemain yang menyertai latihan bersama pasukan kebangsaan dapat mengekalkan kecergasan mereka kerana selepas ini ada beberapa perlawanan yang penting termasuk AFC,” katanya lagi.