KOTA KINABALU : Gabriel Perez dan Darren Lok kemungkinan besar tidak akan diturunkan pada saingan Piala FA menentang Kuala Lumpur Rovers (KL Rovers FC) di Stadium Likas, malam esok.
Ketua Jurulatihnya, Datuk Ong Kim Swee berkata, pihaknya akan melihat tahap kecergasan kedua-dua pemain pada hari ini sebelum membuat keputusan untuk memberikan peluang kepada pemain-pemain lain mengisi kekosongan ditinggalkan mereka.
Katanya, ketiadaan mereka ini sudah tentu akan memberi peluang kepada pemain-pemain lain untuk menunjukkan keupayaan serta prestasi sekali gus memastikan Sabah FC mara ke peringkat seterusnya.
“Kita mahu semua pemain bersedia untuk diturunkan pada bila-bila masa, di samping dapat menunjukkan kualiti dan mutu permainan membanggakan sekaligus memastikan prestasi semasa mereka dapat dipertingkatkan ketika perlawanan sedang berlangsung.
“Jika gagal menunjukkan prestasi yang baik kemungkinan besar mereka akan ketinggalan dengan pemain-pemain lain, berikutan terdapat beberapa kekosongan posisi ditinggalkan pemain utama.
“Saya juga akan meneliti beberapa posisi yang lain untuk diisi segera, sekiranya kecederaan beberapa pemain utama masih berpanjangan bagi meneruskan perjuangan kita dalam saingan Liga Super,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Ketika mengulas mengenai persiapan menjelang perlawanan esok menentang KL Rovers, Kim Swee berkata selepas kembali dari Jakarta, Indonesia tempoh hari, ini merupakan perlawanan pertama skuad badak di laman sendiri di Stadium Likas Kota Kinabalu.
“Kita memberikan tumpuan lebih kepada perlawanan Piala FA..Ini kerana ia merupakan satu pertandingan cukup penting bagi Sabah FC sekaligus berharap harap kita mampu memperoleh keputusan positif pada malam esok.
“Sabah FC akan meneruskan momentum untuk memberikan peluang kepada para pemain yang beraksi di Jakarta tempoh hari untuk diturunkan namun bergantung kepada situasi perlawanan,” jelas Kim Swee.
Menurutnya, beliau akan menentukan siapa yang bakal diturunkan atau diletakkan di bangku simpanan, bergantung kepada keadaan permainan ketika perlawanan sedang berlangsung malam esok.