Sabah Football Club

Sabah FC Logo

BANGKIT DI SAAT AKHIR, SABAH FC II RAIH 1 MATA BERHARGA, DI TEMPAT LAWAN  – ALTO

KOTA KINABALU : Pertukaran formasi dan taktikal selepas dibolosi dalam separuh masa kedua membuahkan hasil apabila skuad Sabah FC II berjaya membawa pulang satu mata berharga.

Skuad Badak Junior melalui penyerang Azhad Harraz berjaya menjaringkan dua gol pada minit ke 90+1 dan 90+3 untuk mengikat Penang FC II 2-2. Ketua Jurulatih Alto Linus menyatakan perkara ini dalam satu kenyataan di Kota Kinabalu.

Alto turut memuji anak buah kendaliannya yang menunjukkan semangat juang tinggi ketika mana terpaksa berhadapan tekanan dan cabaran daripada pihak lawan dengan dua jaringan, namun, tetap berjuang habis-habisan.

“Secara keseluruhannya, saya berpuas hati dengan aksi para pemain….saya bagi kredit kepada mereka, atas kerja keras sekaligus, membawa balik 1 point.

“Ini yang kita mahu, iaitu tetap berjuang, ‘fighting spirit’ tetap ada, walaupun dibolosi dua gol awal, namun, bangkit balik dengan keputusan yang positif seperti mana yang saya katakan sebelum ni,” jelas Alto.

Katanya lagi, perlawanan kali ini menunjukkan Sabah FC II menguasai perlawanan pada masa separuh pertama dan mempunyai beberapa peluang menjaringkan gol.

“Bagi saya, ini satu keputusan baik apabila kita melihat daripada awal permainan separuh masa pertama, hampir-hampir menjaringkan gol dan secara keseluruhan, kita yang mengawal permainan pertama so untuk keputusan seri pada hari ini satu keputusan yang positif apabila kita bertandang di Pulau Pinang ni,” tambah Alto.

Sabah FC II akan bertemu dengan Terengganu FC II dalam perlawanan seterusnya, pada 23 Oktober.