The Rhinos Sedia Gegar JDT di Likas

KOTA KINABALU: Sabah FC tidak gentar untuk melakar kejutan apabila melayan kunjungan juara bertahan, Johor Darul Ta’zim FC (JDT) dalam aksi tumpuan di Stadium Likas, Ahad ini.

Pemangku Ketua Jurulatih, Alto Linus, menegaskan The Rhinos sudah bersedia memberi tentangan habis-habisan meskipun sedar reputasi Harimau Selatan selaku pasukan terbaik Liga Malaysia ketika ini.

Katanya, aksi di laman sendiri menjadi suntikan moral terbesar buat anak buahnya, tambahan pula dengan sokongan padu penyokong setia yang sentiasa memenuhi Likas.

“Kita hormati kekuatan JDT, tetapi bermain di hadapan penyokong sendiri memberi motivasi tambahan kepada pemain. Mereka lebih bersemangat dan mahu buktikan sesuatu,” katanya.

Namun, Sabah berdepan sedikit ujian apabila beberapa tonggak utama masih dibelenggu kecederaan. Cifuentes terpaksa direhatkan kira-kira dua minggu selepas mengalami keretakan kaki ketika aksi menentang PDRM FC dalam saingan MFL Challenge Cup.

Gabriel Peres pula masih menjalani proses pemulihan dan program kecergasan sebelum dibenarkan menyertai latihan penuh, manakala Shahrol Nizam Abd Rahman belum pulih sepenuhnya. Tahap kecergasan Duje Ljubic turut dipantau rapi oleh barisan kejurulatihan.

Dalam masa sama, Kervens Fil Belfort dan Chris Marlon Ondong Mba juga belum berada pada tahap terbaik dengan keputusan akhir mengenai kesediaan mereka hanya akan ditentukan menjelang hari perlawanan.

Walaupun berdepan kekangan, Alto tetap optimis barisan pemain yang ada mampu menggalas cabaran dan menghadirkan aksi kompetitif.

“Kita percaya kepada pemain yang ada. Ini peluang untuk mereka tampil dan membuktikan kemampuan,” katanya.

Sabah kini mengharapkan lautan merah di Likas menjadi ‘pemain ke-12’ dalam misi mencabar dominasi JDT dan seterusnya memburu keputusan positif di bumi sendiri.

Scroll to Top