Sabah FC tekad bangkit, buru kemenangan dalam Borneo Derby di Kuching

KUCHING: Sabah FC memasang tekad untuk bangkit apabila bertandang menentang Kuching City FC dalam aksi panas Liga Super yang dijadual berlangsung di Stadium Negeri, Kuching, sabtu ini.

Ketua jurulatih Sabah FC, Juan Torres Garrido berkata skuad Badak berada di landasan tepat walaupun berdepan jadual perlawanan yang padat selain beberapa pemain utama masih dalam proses pemulihan kecederaan.

Beliau mengakui situasi itu memerlukan beberapa pemain memikul tanggungjawab lebih besar apabila terpaksa beraksi penuh selama 90 minit dalam dua perlawanan setiap minggu, termasuk perlawanan di tempat lawan.

“Pasukan semakin menunjukkan peningkatan setiap hari. Perkara paling penting ketika ini adalah memastikan pemain pulih secara fizikal dengan baik walaupun sesi latihan agak terhad kerana jadual yang padat.

“Namun saya sangat gembira dengan sikap dan komitmen yang ditunjukkan pemain menjelang perlawanan ini,” katanya.

Mengulas kekalahan 0-1 kepada Kuching City dalam pertemuan pertama Liga Super sebelum ini, Garrido menegaskan beliau tidak mahu terlalu memikirkan keputusan lampau sebaliknya memberi fokus kepada aksi yang bakal dihadapi.

“Saya tidak suka bercakap tentang masa lalu. Sejak awal lagi objektif kami adalah memastikan tiada pasukan yang boleh menewaskan kami dengan mudah.

“Perlawanan ini pasti sengit kerana kami menentang pasukan yang kuat dan bermain di tempat lawan,” katanya.

Pertemuan yang sering dianggap sebagai Borneo Derby antara dua pasukan jiran dari Sabah dan Sarawak itu turut menjadi suntikan motivasi tambahan buat skuad The Rhinos untuk memberikan aksi terbaik.

“Ini adalah perlawanan yang semua orang mahu bermain. Ia memberi motivasi kepada pasukan,” katanya.

Sabah FC dijangka berdepan cabaran sengit daripada Kuching City FC dalam perlawanan yang pastinya menarik perhatian penyokong bola sepak di Borneo.

Scroll to Top