Sabah Football Club

Pemain Liga Super bantu Sabah FC II harungi Liga MFL – Kim Swee

KOTA KINABALU : Sabah FC bersedia menurunkan beberapa pemain skuad Liga Super untuk membantu memantapkan Sabah FC II dalam mengharungi kempen Piala Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Ketua Jurulatihnya, Datuk Ong Kim Swee berkata, ini sekali gus dapat meningkatkan prestasi carta liga semasa berikutan ketika ini Sabah FC II tidak mencatat keputusan memuaskan selepas pertukaran segi kejurulatihan lalu.

Katanya, Alto Linus memerlukan sedikit masa untuk membuat segala perancangan Sabah FC II termasuk  memperbaiki beberapa taktikal pasukan sekali gus berusaha untuk mencatat keputusan positif pada perlawanan akan datang. 

“Kita kena faham bahawa Sabah FC II ini tidak mempunyai keputusan yang memberangsangkan serta baharu mengalami pertukaran daripada segi pasukan kejurulatihan dan  sudah tentu ia memerlukan masa.

“Kita memberi jaminan pasukan liga super akan membantu menurunkan beberapa pemain senior yang tidak mendapat minit permainan membantu Sabah FC II untuk mendapat keputusan positif,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kim Swee berkata, sudah tentu pengendali Alto akan memikirkan beberapa program perancangan yang lebih teratur untuk memastikan mereka dapat bersaing dalam Liga MFL.

“Jangan terlalu mengharapkan keputusan positif dalam sekelip mata berikutan semua pemain sebelum ini bersama jurulatih yang lain.

“Kini bersama dengan jurulatih yang baharu, kalau kita lihat daripada satu  perlawanan ke satu perlawanan semenjak Alto mengambil alih, beberapa perkara positif berlaku, tetapi masih lagi ada banyak kelemahan untuk diperbaikinya,” jelas Kim Swee.