KOTA KINABALU, 20 OKTOBER 2026 – Akademi Sabah FC membawa cabaran ke The Belt and Road 2026 Third “Tianyu Liufang” Lijiang Youth Football Invitational Tournament yang berlangsung di Lijiang, Yunnan, China, dari 20 hingga 29 Oktober 2026.
Penyertaan itu merupakan peluang penting bagi pemain muda Akademi Sabah FC untuk menimba pengalaman di peringkat antarabangsa, meningkatkan kemahiran permainan serta menguji keupayaan bersaing dengan pasukan dari luar negara.
Naib Presiden I Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA) merangkap Pengarah Sabah Football Club, Datuk TPr Alijus @ Mohd Ali bin Sipil, berkata pembangunan akademi merupakan antara aspek penting dalam usaha melahirkan pemain tempatan yang berdisiplin, berkemahiran dan berdaya saing.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat dan menyerahkan bendera kepada pemain serta pegawai Akademi Sabah FC pada majlis yang berlangsung di Bilik Mesyuarat SAFA, Likas, pada 20 Oktober.



Beliau turut mengingatkan para pemain supaya menjaga disiplin, mengutamakan semangat berpasukan dan memelihara nama baik Sabah FC, Sabah serta Malaysia sepanjang menyertai kejohanan berkenaan.
Menurutnya, peluang beraksi di pentas antarabangsa perlu dimanfaatkan sebaik mungkin, bukan sahaja untuk mengejar keputusan positif, tetapi juga mempelajari pendekatan permainan, latihan dan disiplin pasukan lain.
Sabah FC berharap penyertaan itu dapat memberi pengalaman berharga kepada pemain muda akademi, sekali gus menyokong usaha berterusan kelab dalam membangunkan bakat bola sepak untuk masa depan Sabah.




