Sabah Football Club

Sabah FC Logo
Youth Coach Johnny Dominicus

44 Pemain untuk Pemilihan Skuad Piala Belia Sabah FC

Youth Coach Johnny Dominicus
Photo Credit: Goal.com

KOTA KINABALU: Seramai 44 pemain dipanggil untuk menyertai sesi pemilihan fasa pertama Skuad Piala Belia Sabah FC yang bermula pada 20 hingga 29 Disember ini.

Ketua Jurulatihnya, Johnny Dominicus berkata kesemua mereka ditapis selepas kejohanan Piala Datuk Seri Bung Moktar Radin sekaligus dipilih berdasarkan persetujuan beberapa panel bertauliah semasa kejohanan itu berlangsung.

Katanya sesi pemilihan fasa pertama baru berakhir petang tadi (Rabu) manakala 27 hingga 29 Disember ini bagi fasa kedua yang turut melibatkan panel pemilih termasuk penolong jurulatih, Bobby Gonzales serta Rozaimie Rohim selaku jurulatih penjaga gol.

“Sasaran pertama untuk musim depan adalah layak ke peringkat kumpulan dan dalam masa sama kita akan fikirkan langkah seterusnya untuk mara ke peringkat akhir. Apa yang penting adalah melakukan persediaan awal pasukan memandangkan selama dua tahun tiada sebarang kejohanan bola sepak berlangsung akibat Pandemik COVID-19.

“Jadi ramai pemain tidak berpeluang menyertai sebarang kejohanan. Kita sangat berterima kasih apabila ada kejohanan Piala Datuk Seri Bung Moktar yang dilihat sedikit sebanyak memberi peluang kepada para pemain untuk mencungkil bakat mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan di Kota Kinabalu.

Johnny yang juga bertindak sebagai panel pemilih berkata untuk fasa kedua ini pihaknya akan memanggil mereka yng telah disenarai pendek daripada 44 pemain yang hadir semasa fasa pertama bersama-sama dengan pemain Piala Belia sedia ada pada musim ini.

“Ada yang masih layak untuk bermain pada musim 2022…Pada masa itu kita akan buat saringan terakhir untuk membentuk Skuad Piala Belia Sabah FC memandangkan tarikh tutup pendaftaran pada 28 feb 2022,” katanya.

“Kita menjangkakan kejohanan pertama akan berlangsung pada 23 Feb 2022…Kita masih mempunyai masa bagi mengenalpasti pemain berpotensi sekaligus menyiapkan pasukan pada musim depan,” katanya.