Sabah FC yakin tempoh rehat selama sebulan akan dimanfaatkan sepenuhnya dalam pertemuan menentang Melaka United FC malam esok.
Pengendalinya, Datuk Ong Kim Swee berkata tempoh rehat itu juga digunakan untuk memperbaiki beberapa kelemahanyang telah dikenal pasti sekaligus waspada tidak ingin kehilangan tiga mata walaupun bertandang di tempat lawan.
Katanya mengutip tiga mata bukan satu tugas yang mudah namun yakin mampu memberi saingan hebat malam esok.
“Kita percaya mampu memberikan saingan serta yakin akan balik dengan keputusan yang cukup positif.
“Selepas sebulan kita berehat untuk memberi ruang kepada skuad Harimau Malaya, kita menjalani seperti biasa dan kini berada di Kuala Lumpur selama seminggu.
“Dalam tempoh ini juga kita telah mengadakan perlawanan menentang pasukan PDRM FC dan kini semua pemain berada dalam keadaan yang cukup baik,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media hari ini.
Kim Swee berkata beberapa pemain masih lagi mengalami kecederaan dan beliau terpaksa menunggu sehingga esok untuk menentukan kesebelasan terbaik bakal yang akan diturunkan malam esok.
Mengulas mengenai pertemuan dengan pasukan Melaka United FC, Kim Swee berkata selepas mengharungi beberapa perlawanan perlawanan esok adalah sangat penting untuk mengutip kemenangan pertama bermain di tempat lawan.
“Kita tahu apabila Melaka United tidak berjaya mendapatkan kemenangan dalam dua perlawanan awal saingan Liga Super dan ini pasti memberikan mereka satu tekanan.
“Saya percaya selama sebulan cuti sudah tentu mereka telah mengenalpasti beberapa kelemahan mereka dan kita harus waspada agar tidak kehilangan mata,” katanya.