Sabah Football Club

Sabah FC Logo

Kekal fokus, jangan terlalu selesa kemenangan berganda di tempat lawan.

Sabah FC mahu terus kekal fokus dalam setiap perlawanan bagi memastikan mereka tidak kehilangan mata khususnya menjelang aksi pertemuan menentang KL City FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras malam ini.

Sabah FC Coach, Datuk Ong Kim Swee

Pengendalinya, Datuk Ong Kim Swee berkata para pemain perlu mempunyai sikap yang sama selain mengekalkan momentum kemenangan dalam tiga perlawanan yang lalu.

“Semua pemain harus memastikan agar kita tidak kehilangan mata penting pada setiap perlawanan… Oleh itu mereka perlu tunjukkan mutu permainan berkualiti tinggi seperti mana dilalui sebelum ini,” katanya.

“Masih terlalu awal untuk kita merasa selesa, meskipun mencapai dua kemenangan berturut-turut di tempat lawan namun setiap perlawanan itu berbeza. Kita harus kekal fokus selain mengekalkan disiplin, ini pasti akan memberi keyakinan lebih untuk para pemain.

Perjalanan liga masih panjang manakala apa yang kita inginkan ialah semua semua pemain perlu fokus kepada setiap perlawanan yang bakal dihadapi mereka.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media sebelum berlepas ke ibu negara bersama skuad badak kelmarin.

“Untuk perlawanan malam ini, saya jangkakan satu lagi perlawanan yang akan menguji segala aspek permainan, baik dari segi menyerang atau bertahan kerana kita tahu pasukan KL City FC mempunyai pemain-pemain yang berkualiti,” katanya.

Kim Swee berkata, KL City FC juga mempunyai barisan pemain berpengalaman selain menjadi juara Piala Malaysia musim lalu.

“Selepas mereka mencapai kemenangan pertama bertemu Melaka United FC sudah pasti mereka ingin meneruskan rentak kemenangan termasuk kita.

“Namun bagi saya ini merupakan ujian yang lebih getir dan para pemain harus kekal fokus dengan apa jua perancangan yang akan kita lakukan malam nanti,” katanya.