Sabah Football Club

Sabah FC Logo

Tidak konsisten dan selesa dengan tiga kemenangan sebelum ini faktor tewas kepada KL City FC semalam

Kehilangan konsentrasi selain leka dengan tiga kemenangan terdahulu menjadi antara punca Sabah FC tewas kepada Kuala Lumpur City FC 2-0 dalam saingan Liga Super di Stadium Bola Sepak Kuala Kumpur, Cheras disini semalam.

Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee berkata pemain perlu bangkit semula dan harus fokus serta konsisten bagi menghadapi perlawanan-perlawanan yang lebih penting dan utama selepas ini.

Katanya para pemain juga tidak boleh mengulangi kesilapan sama jika ingin mencapai keputusan baik dalam liga seterusnya membawa pulang tiga mata dalam setiap perlawanan.

“Kita tewas atas kesilapan sendiri…Malam tadi kita lihat pemain kurang konsentrasi sehingga memberikan sepakan percuma kepada KL City FC menyebabkan pasukan dibolosi dengan jaringan pertama oleh Romel Morales pada minit ke-36.

“Separuh masa kedua kita bangkit hampir menguasai permainan. Kita mendapat banyak peluang namun gagal disempurnakan…Penjaga gol KL City bermain begitu baik malam tadi.

“Ini merupakan faktor utama di mana kita tidak dapat menjaringkan gol selain mengulangi kesilapan sendiri sehingga menyebabkan kita tewas mengejut malam tadi,” katanya.

“Mereka harus bangkit semula dan berdepan dengan realiti di mana sekiranya ingin mencapai keputusan yang baik dalam liga, semua pemain harus fokus dan konsisten di mana kita tidak boleh lagi melakukan kesilapan seperti ini,” katanya dalam sidang media selepas tamat perlawanan disini semalam.

“Seperti yang saya katakan sebelum perlawanan. ianya masih terlalu awal untuk berpuas hati dengan pencapaian pasukan dan kita amat baik berada di tangga kedua sebelum sepak mula menentang KL (City FC).

Ketika ditanya mengenai ketiadaan pemain import Neto Pessoa, Kim Swee mengakui terdapat kelemahan yang ketara di bahagian serangan apabila pemain itu tidak diturunkan malam tadi.

“Bagi saya dalam bola sepak apabila kita lebih berdisiplin dan kita mempunyai percaturan taktikal yang baik, ini akan berlaku dan kita harus bangkit dan tidak mengulangi kesilapan sama selepas ini.

Secara keseluruhannya bahagian pertahanan bermain agak baik sebagai satu unit namun kehilangan konsentrasi dan kesilapan mereka di minit-minit akhir perlawanan dihukum apabila Romel Morales sekali lagi meledak gol kedua pada minit ke 88 sekaligus memberikan tiga mata berharga buat KL City FC.