Sabah Football Club

Sabah FC Logo

“The Rhinos” Menang Bergaya di Likas : Amri Ledak Hatrik

Sabah FC kembali menemui rentak kemenangan dalam saingan Liga Super Malaysia 2022 apabila penyerang veteran, Mohd Amri Yahyah meledak hatrik ketika Sabah FC menewaskan Kedah Darul Aman FC 4-0 di Stadium Likas, Kota Kinabalu semalam.

Amri Yahyah | Photo: Sabah FC Media (Raymond Henry Gusi)

Gol pertama Amri dijaringkan dari luar kotak penalti pada minit ke-51 selepas menerima umpanan cantik daripada Taiki Kagayama.

Pada minit ke-53, Sabah FC berjaya memperoleh sepakan penalti apabila kapten pasukan KDA FC, Rodney Celvin menjatuhkan Amri di dalam kotak penalti namun penjaga gol, Ilham Amirullah bertindak cemerlang apabila berjaya menepis sepakan penalti yang dilakukan kapten pasukan Sabah FC, Baddrol Bakhtiar.

Park Taesu | Photo: Sabah FC Media (Flanegan Bainon)

Gol kedua Sabah FC dijaringkan Park Tae Su pada minit ke-56 apabila sepakan percuma daripada jarak 30 meter berjaya mengelirukan penjaga gol KDA FC.

Amri Yahyah terus beraksi cemerlang apabila menyumbat gol ketiga Sabah FC pada minit ke-61 dan seterusnya mengesahkan kemenangan bergaya The Rhinos membenam KDA FC apabila berjaya melengkapkan hatriknya menerusi gol ke-4, pada minit ke-71.

Kemenangan bergaya Sabah FC pada malam ini sudah tentu mengubat kekecewaan pasukan negeri di bawah bayu
itu yang tewas 2-0 kepada Kuala Lumpur City FC pada 16 April lepas di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Taiki Kagayama | Photo: Sabah FC Media (Raymond Henry Gusi)

Sabah FC akan meneruskan saingan dalam pertandingan Piala FA menentang Kelantan United FC pada 13 Mei depan di Stadium Likas dan selepas itu akan bertandang ke Stadium Bandaraya, Pulau Pinang menentang Penang FC pada 17 Mei 2022.