Sabah Football Club

Sabah FC Logo

Jose Embalo Sedia Diuji Pada Aksi Pertama Malam Ini

Penyerang kebangsaan Guinea-Bissau, Jose Embalo bakal membuat penampilan pertamanya menentang Selangor FC dalam saingan Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya malam ini.

Pengendalinya, Datuk Ong Kim Swee berkata bagaimanapun ia bergantung kepada tahap kecergasan Embalo selepas sesi latihan petang ini.

Katanya Embalo baharu sahaja tiba lebih kurang tiga atau empat hari lalu dan sudah tentu pelbagai aspek perlu diambil kira sebelum beliau diturunkan pada perlawanan menentang Selangor FC.

“Kita tidak ingin terburu-buru tetapi jika Embalo menunjukkan keyakinan serta memiliki tahap kecergasan tinggi kemungkinan besar beliau boleh diturunkan sebagai kesebelasan utama malam esok.

“Ini kerana Sabah FC harus berwaspada dan berhati-hati kepada kebangkitan Selangor FC meskipun mereka tewas dengan jaringan besar kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) pada perlawanan lalu.

“Sudah tentu Selangor akan lebih bersedia untuk mencipta kemenangan lebih-lebih lagi mempunyai kelebihan bermain dilaman sendiri,”katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media semalam.

Kim Swee berkata Sabah FC perlu kekal fokus bagi memastikan mereka dapat memberikan saingan sengit sekaligus membawa pulang tiga mata.

“Saya tidak nampak kekalahan Selangor kepada JDT pada perlawanan lalu merupakan satu kelebihan kepada Sabah FC….malah kita cuba membuat percaturan yang terbaik untuk mencapai keputusan memberangsangkan malam ini,” katanya.

Ketika diminta mengulas mengenai status pemain kebangsaan Indonesia, Saddil Ramdani, Kim Swee berkata Saddil kini sudah seminggu menjalani latihan bersama Sabah FC.

Menurutnya Saddil menunjukkan komitmen tinggi semasa latihan sekaligus bersedia untuk diturunkan dalam perlawanan malam esok.

“Saddil merupakan salah satu pemain utama kita namun kesebelasan terbaik The Rhinos hanya akan diumumkan sebelum sepak mula pada hari perlawanan nanti,” katanya.