Sabah Football Club

Tidak Mahu Hilang Mata : Kim Swee

Ketua Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee mahu pemain-pemainya mempamerkan aksi terbaik dalam menjelang pertemuan menentang Terengganu FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Sabtu ini.

Beliau tidak mahu lagi pasukannya keciciran mata selain ingin mengekalkan kedudukan dalam kelompok terbaik Liga Super 2022 yang hanya berbaki beberapa perlawanan sahaja lagi.

Menurut Kim Swee, tempoh rehat yang lama dapat memberi peluang untuk pasukannya memperbaiki segala kelemahan yang ada.

“Saya berharap, apabila kita bermain dengan Terengganu FC Sabtu ini, kita berjaya mendapatkan keputusan yang positif kerana kita tidak boleh lagi keciciran mata untuk kita mengekalkan tempat kedua ataupun dalam kelompok yang terbaik.

“Meskipun tanpa kemenangan dalam tiga perlawanan lalu sudah tentu akan memberi sedikit impak yang cukup berkesan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Bagaimanapun, Kim Swee berkata beliau telah menganalisa dan berlatih seperti mana yang diinginkan sebelum bermain dengan Terengganu.

“Semua pemainnya kini berada dalam tahap terbaik untuk memberikan persembahan yang lebih sempurna seperti mana yang kita tunjukkan sebelum-sebelum ini,” katanya.

Tiga perlawanan sebelum ini, Sabah hanya mencatat keputusan seri menentang Kedah (1-1); Kuala Lumpur (2-2) dan kalah pada Selangor (2-3).

Sementara itu, menurut Kim Swee ketika ini hanya pemain import Jose Embalo sahaja yang masih mengalami kecederaan.

“Kita mempunyai semua pemain yang cukup cergas untuk menggantikan tempat beliau dan sesiapa yang diturunkan saya harap dapat melaksanakan tugas dengan terbaik,” katanya.

Sabah FC pada ketika ini berada di kedudukan kedua memungut 36 mata dibelakang JDT FC yang unggul dengan 43 mata.

Photo/Gambar : Raymond Henry / Sabah FC Media