Sabah Football Club

Sabah FC Logo

Khidmat “Pak Karim” Bersama Sabah FC Disambung Sehingga 2024 – Marzuki

Pemain import Sabah FC, Park Taesu disambung kontrak untuk terus bersama skuad “The Rhinos” selama dua musim sehingga penghujung 2024.

Pemain berasal dari Incheon, Korea Selatan itu beraksi cemerlang pada musim ini apabila berjaya meledak lapan gol pada saingan Liga Super 2022 yang berakhir baru-baru ini.

Perkara itu dinyatakan Pengurus Sabah FC Ahmad Marzuki Nasir menerusi hantaran yang dimuat naik di media sosial.

Turut dimuat naik, dua keping gambar dimana Taesu menandatangani penyambungan kontrak bersama Ahmad Marzuki.

Ahmad Marzuki menerusi media sosialnya memaklumkan bahawa pemain tengah Sabah FC itu menyambung kontrak bersama pasukan kendalian Datuk Ong Kim Swee.

“Park Tae Su has extended his contract with Sabah Football Club (Park Tae Su menyambung kontrak bersama Kelab Bola Sepak Sabah) #RaduTatapRadu,” katanya menerusi hantaran di media sosialnya.

Menerusi ruangan komen media sosial Ahmad Marzuki, rata-rata penyokong Sabah FC menyambut baik penyambungan kontrak Park Taesu bersama skuad Badak.

Malahan ada penyokong yang meminta agar pemain import itu diberikan kerakyatan menerusi program naturalisasi.

Park Taesu mula bermain bersama Sabah FC pada 2019 dan pernah membantu pasukan itu menjuarai Piala Liga Perdana pada tahun yang sama.