Sabah Football Club

Sabah FC Logo

TM Piala Malaysia: Sabah FC waspada perlawanan timbal balas di Stadium Likas Isnin ini

Sabah FC tidak boleh mengambil mudah pada perlawanan timbal balas menentang UiTM FC dalam saingan Piala Malaysia di Stadium Likas isnin ini.

Pengendalinya, Datuk Ong Kim Swee berkata, meskipun Sabah FC menguasai keseluruhan perlawanan malam tadi namun mereka seolah-olah hilang fokus sehingga UiTM FC berjaya menjaringkan satu gol pada minit-minit akhir.

Kita tidak boleh ambil mudah pada perlawanan kedua di Likas nanti. Kalau kita lihat daripada segi corak permainan UiTM FC yang melakukan corak permainan “Counter Attack” jika kita tidak menyempurnakan peluang di Sabah nanti kita akan dihukum dengan gol awal mereka, sudah tentu ini akan memberi semangat kepada UITM FC ketika bertandang di Stadium Likas.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas tamat perlawanan pertama menentang UiTM FC di Stadium UiTM, Shah Alam malam tadi.

“Kita akui ramai pemain Sabah FC mengalami kecederaan dan masih lagi belum pulih sepenuhnya….Barisan pemain diturunkan tidak menunjukkan prestasi sebenar mereka walaupun kita mendahului dengan dua gol.

Kim Swee berkata secara umumnya kemenangan merupakan satu keputusan baik tetapi secara keseluruhan mutu permainan masih belum berada pada tahap yang membanggakan pada perlawanan malam tadi.

“Kelemahan sangat ketara di bahagian serangan di mana kita mempunyai banyak peluang tetapi tidak disempurnakan walaupun mengawal keseluruhan permainan.

“Beberapa pemain termasuk pemain import, Jose Embalo masih lagi mengalami kecederaan dan telah pulang ke Portugal termasuk Jackson De Souza yang cedera ketika ini dan berada di Brazil,” katanya.

Menurutnya, ketika ini Sabah FC bergantung sepenuhnya kepada Taiki Kagayama manakala Park Tae Su dan Saddil Ramdani juga masih berada dalam senarai kecederaan.

“Kita gunakan pemain sedia ada termasuk Baddrol Bakhtiar sepertimana yang kita tahu pemain ini cukup berpengalaman serta merupakan pakar dalam sepakan percuma.

“Ini merupakan kelebihan kepada Baddrol dan sudah tentu beliau perlu membimbing lagi beberapa pemain yang akan diturunkan selepas ini,” katanya.

Mengulas mengenai sasaran diletakkan oleh pihak pengurusan dalam saingan Piala Malaysia, Kim Swee berkata tiada sasaran ditetapkan buat masa ini.

“Tetapi apabila kita menyertai sesuatu kejohanan sukan sudah tentu kita ingin melangkah sejauh mana yang boleh, jadi biar kita tumpukan daripada satu perlawanan ke satu perlawanan,” katanya.