Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee mahu anak-anak buahnya terus kekal fokus dan tidak mengambil mudah menjelang pertemuan menentang Kuching City FC pada perlawanan suku akhir kedua TM Piala Malaysia di Stadium Likas malam ini.
Kim Swee berkata ketua jurulatih, Kuching City FC, Irfan Bakti pasti mahu para pemainnya bermain dengan corak serangan untuk merapatkan jurang gol sekaligus mematikan hasrat skuad badak untuk mara ke peringkat seterusnya.
“Kita tahu Kuching City datang ke Stadium Likas untuk bermain dengan corak serangan sekaligus memberi satu tentangan yang cukup sengit dan kita tidak boleh mengambil mudah,” katanya.
“Persiapan pasukan seperti biasa, kita tahu walaupun mempunyai kelebihan satu gol mendahului Kuching City, namun saya yakin perlawanan malam ini bukan satu perkara mudah.
Beliau mahu anak-anak buahnya untuk tidak hilang momentum selain perlu kekal fokus khususnya dari segi disiplin semasa perlawanan.
“Disiplin perlu menjadi perkara utama ketika bertahan memandangkan peluang-peluang yang dicipta oleh Kuching City di Stadium Negeri, Sarawak tempoh hari amat berbahaya dan kita perlu memastikan kita tidak dibolosi, itu yang penting untuk perlawanan malam ini,” katanya.
Mengenai barisan pemain yang diturunkan, Kim Swee berkata perkara itu masih belum ditentukan.
“Kita mempunyai ramai pemain yang masih lagi mengalami kecederaan yang agak lama terutamanya (Jose) Embalo, Jackson (De Souza), Khairul Fahmi Che Mat, Gary Steven Robat dan yang terkini Park Tae Su termasuk Dominic Tan.
“Jadi kita mempunyai beberapa pemain yang masih belum ditentukan sama ada boleh diturunkan ataupun tidak,” katanya.
Gambar: Flanegan Bainon / Sabah FC Media