Sabah Football Club

Sabah FC Logo

Sokongan Penyokong Amat Diperlukan Namun Perlu Elakkan Sebarang Provokasi

Sokongan padu penyokong amat diperlukan bagi memberi semangat kepada para pemain Sabah FC untuk meneruskan saingan Separuh Akhir Pertama TM Piala Malaysia 2022 menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) FC di Stadium Likas malam ini.

Pengendalinya, Datuk Ong Kim Swee berkata beliau juga mahu para penyokong menjaga keselamatan dan mempunyai semangat berpasukan agar menjadi contoh kepada penyokong yang hadir.

“Kepada para penyokong saya harap mereka hadir memberi semangat memberi sokongan yang padu terutama apabila kita bermain dengan pasukan JDT dalam peringkat separuh akhir dan ini juga merupakan perlawanan terakhir kita untuk musim ini.

“Pada masa yang sama saya harap para penyokong dapat menjaga keselamatan memberikan sokongan dan juga menunjukkan satu semangat berpasukan atau kita menjadi contoh kepada semua para penyokong yang akan hadir tak kira penyokong JDT ataupun pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di sini semalam.

Kim Swee juga berharap agar tidak akan berlaku sebarang insiden yang boleh memberi impak negatif dan menyeru agar para penyokong hadir memberi sokongan kepada pasukan The Rhinos.

Sementara itu, Kim Swee berkata, tidak banyak yang dapat dilakukan khususnya dari segi latihan selepas perlawanan menentang Kuching City FC Jumaat lalu.

Katanya hanya latihan-latihan ringan sahaja dapat dilakukan termasuk latihan sehari sebelum perlawanan.

“Jadi saya harap semua pemain dalam keadaan yang cukup cergas dan seperti biasa ramai pemain yang tidak dapat diturunkan seperti Park Taesu; (Jose) Embalo dan Jackson (De Sauza).

“Mereka yang cedera ini sudah tentu tidak akan diturunkan kerana masih mengalami kecederaan di samping Gary (Steven Robert) termasuk Khairul Fahmi (Che Mat) dan juga Stuart Wilkin serta Irfan Fazail yang tidak dapat diturunkan menentang JDT.

“Jadi kita akan bermain dengan pemain-pemain sedia ada dan saya percaya mereka mampu menjalankan tugas yang baik apabila bermain pada malam esok terutama apabila bermain di tempat sendiri,” katanya.