Sabah Football Club

Sabah FC Logo

Pembinaan Stadium Baharu Sabah FC belum dimuktamadkan.

Sabah FC masih belum membuat keputusan muktamad berkaitan perancangan pembinaan stadium baharu yang lengkap dengan segala kemudahan selain mampu memberi keselesaan kepada peningkatan jumlah penonton dan penyokong bola sepak di negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sabah FC, Marzuki Nasir berkata, perancangan itu masih tertakluk kepada kemampuan kewangan serta tapak bersesuaian yang akan dibincangkan bersama-sama Jawatankuasa Tertinggi, Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) yang baharu nanti.

Katanya, Sabah FC memang mempunyai perancangan jangka masa panjang untuk.mempunyai stadium bola sepak sendiri dengan memiliki fasilitasi lengkap disamping memastikan kapasiti penonton dapat ditingkatkan menjelang setiap perlawanan.

“Memang cadangan pembinaan stadium baharu ini mendapat reaksi dalam kalangan netizen minggu lalu. Saya ada membuat sedikit komen berkenaan stadium ini.

“Setiap pasukan bola sepak di negara ini pasti mempunyai impian untuk mempunyai stadium bola sepak sendiri. Ini adalah impian semua pasukan kerana kebanyakkan pasukan bola sepak di negara ini tidak memiliki stadium sendiri, hanya sebagai penyewa,” katanya dalam kenyatan yang dikeluarkan di Kota Kinabalu.

Marzuki berkata, Sabah FC yakin pembinaan stadium baharu ini nanti dijangka mampu menampung jumlah penonton iaitu 15,000 hingga 20,000 pada setiap perlawanan.

“Saya katakan hari tu tidak payahlah dia sebesar mana namun kita akan cuba minimize perbelanjaan tersebut bagi memastikan ia dapat direalisasikan kelak.

“Biar dia sebagai satu stadium bola sepak sahaja..Tidak perlu ada track apa semua. Kita hanya mau bina dia sebagai stadium bola sepak khas untuk bola sepak sahaja,” katanya.

Marzuki berkata ia terpulang kepada keputusan SAFA berikutan mereka merupakan pemilik kepada Sabah FC atau mungkin kepada pemilik baru akan datang disebabkan tahun 2023 ini merupakan tahun terakhir setiap pasukan bola sepak dimiliki oleh persatuan bola sepak negeri dan selepas itu kita kena 100 peratus swasta bermula 1 Januari 2024,” katanya.