Sabah Football Club

Sabah FC Logo

Perbelanjaan besar Sabah FC kini dikenali di peringkat Asia Tenggara – Datuk Ong Kim Swee

KOTA KINABALU : Perbelanjaan besar membentuk Sabah FC kini diiktiraf di peringkat Asia Tenggara selepas mendapat jemputan Kejohanan Antarabangsa RCTI Jakarta Indonersia RCTI Premium Sports bermula 30 Mei hingga 2 Jun ini.

Ketua Jurulatihnya, Datuk Ong Kim Swee berkata, sebelum ini semua mengetahui Sabah FC mengeluarkan perbelanjaan besar untuk membentuk sebuah pasukan di peringkat awal sebelum mencapai kejayaan di peringkat rantau asia.

Katanya, pengiktirafan ini merupakan perkembangan positif sekaligus menjadikan Sabah FC sebaris dalam kalangan negara-negara Asia Tenggara yang begitu sinonim dengan kehebatan mereka dalam arena sukan bola sepak.

“Jemputan ini merupakan penghargaan kepada Sabah FC selepas pencapaian terbaik mereka layak ke saingan Piala AFC dan berada di tempat ketiga selama dua tahun berturut-turut dalam Liga Super.

“Semua tahu Sabah FC berbelanja besar dalam membentuk pasukan yang mantap, berkualiti, sekali gus jemputan ini memberikan imej yang sangat baik bukan sahaja kepada pasukan Sabah FC malah kepada negeri Sabah itu sendiri,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mengulas mengenai kejohanan itu nanti Kim Swee berkata, Sabah FC mengesahkan tiada ‘Pemain Kebangsaan’ akan disenaraikan untuk menyertai kejohanan tersebut.

“Pemain sedia ada perlu membuktikan keupayaan mereka untuk layak bermain pada mana-mana kejohanan sekiranya berlaku kecederaan atau penggantungan terhadap pemain utama sepanjang kempen liga nanti.

“Sudah tentu ruang yang ada ini perlu digunakan sebaik mungkin serta mampu untuk mendapatkan momentum serta meneruskan intensiti selepas mengharungi tiga perlawanan dalam Liga Super kelak,” jelas Kim Swee.

Kejohanan berlangsung di Jakarta International Stadium (JIS) turut melibatkan Persija Jakarta, PSIS Semarang, Selangor FC.

Juara menerima hadiah wang tunai 30-ribu USD (RM142,000) beserta Piala Rajawali dan medal manakala Naib Juara 15-ribu USD (RM71,000) dan pemenang tempat ketiga dan keempat masing-masing akan menerima hadiah wang tunai berjumlah 10-ribu USD (RM47,000) dan 5-ribu USD (RM23,000).