Bagi menghadapi musim 2026/2027 ini, Sabah FC memperkuatkan jentera tengah dengan kehadiran Mohd Fadzrul Danel Mohd Nizam, yang bersedia membuka lembaran baharu dalam kariernya bersama Sang Badak.
Pemain tengah kelahiran Sungai Petani, Kedah itu menyertai Sabah FC selepas beraksi bersama Imigresen FC dan bakal menyarung jersi bernombor 20 sepanjang kontraknya selama satu musim.
Bagi Danel, keputusan untuk memilih Sabah FC hadir bersama satu tekad, keluar daripada zon selesa, mencari cabaran baharu dan terus berkembang sebagai seorang pemain. Visi yang dibawa Sabah FC turut menjadi antara faktor yang meyakinkannya bahawa bumi di bawah bayu adalah destinasi tepat untuk meneruskan perjalanan kariernya.
“Saya merasakan ini adalah masa yang sesuai untuk mencari cabaran baharu, terus berkembang sebagai pemain dan keluar daripada zon selesa. Saya percaya Sabah mempunyai visi yang selari dengan cita-cita saya dan saya ingin memberikan komitmen 100 peratus untuk membantu pasukan mencapai kejayaan.”
Danel bukanlah nama asing dalam kancah bola sepak tempatan. Antara detik terbesar dalam kariernya hadir pada pentas Final Piala FA 2019, apabila beliau berjaya mencetak gol ketika menentang Perak — satu detik yang kekal terpahat dalam ingatannya selepas membantu pasukan meraih kejayaan di pentas final. Perjalanan bola sepaknya turut pernah membawa Danel ke luar negara apabila mendapat peluang menjalani latihan bersama Cardiff City, satu pengalaman berharga yang memberikan pendedahan berbeza dalam perkembangan kariernya sebagai pemain.
Dan dalam membuat keputusan untuk menyahut cabaran bersama Sang Badak, ada satu figura yang turut memberikan keyakinan kepadanya iaitu Baddrol Bakhtiar. Pemain yang dianggap sebagai idolanya itu menjadi antara individu yang membuatkan Danel lebih yakin untuk memilih Sabah sebagai destinasi seterusnya.
“Harapan saya bersama Sang Badak adalah untuk memberikan yang terbaik dalam setiap perlawanan dan membantu pasukan mencapai sasaran musim ini. Saya juga berharap dapat terus berkembang sebagai pemain dan membina keserasian yang baik bersama rakan sepasukan.”
“Kepada semua penyokong, saya berharap anda dapat menerima kehadiran saya dan terus memberikan sokongan kepada pasukan. Saya berjanji akan memberikan komitmen 100 peratus dalam setiap perlawanan dan berjuang demi lencana di dada.”
A New Chapter Begins. Fadzrul Danel is a Rhino.




