Sabah FC mengalu-alukan kepulangan Abdul Hanafie Tokyo Abdul Hasim, anak kelahiran Sandakan yang kembali menyarung jersi negeri kelahirannya bagi memperkuatkan Sang Badak menghadapi cabaran musim 2026/2027.
Pemain berusia 27 tahun itu menyertai Sabah FC selepas beraksi bersama Imigresen FC dan bakal menyarung jersi bernombor 2. Mampu beraksi sebagai pertahanan tengah dan pertahanan kanan, Hanafie hadir membawa pengalaman, semangat juang dan satu tekad besar, memberikan segala yang terbaik untuk Sabah.
Bagi Hanafie, Sabah FC bukanlah sebuah pasukan yang asing. Sabah adalah rumahnya. Di sinilah segalanya bermula.
“Sabah FC bukanlah sebuah pasukan yang asing bagi saya. Malah, inilah tempat yang saya anggap sebagai rumah. Di sinilah saya membesar dan memulakan perjalanan sebagai seorang pemain bola sepak. Peluang untuk kembali menyarung jersi Sabah FC merupakan satu penghormatan yang sangat bermakna buat saya.”
Perjalanan Hanafie untuk sampai ke tahap ini bukanlah sesuatu yang mudah. Ketika masih bersama skuad remaja Sabah FA, Hanafie pernah berdepan kekangan kewangan sehingga sanggup menggunakan wang belanja makan untuk membeli sepasang kasut bola baharu yang begitu diimpikannya. Kasut itulah yang kemudiannya menemani langkah seorang anak Sabah dalam mengejar impian menjadi pemain bola sepak. Sebuah pengorbanan kecil yang membawa sebuah impian besar.
“Pengalaman itu mengajar saya bahawa setiap kejayaan pasti bermula dengan pengorbanan.”
Kerja kerasnya turut membuka peluang untuk Hanafie melangkah ke pentas lebih tinggi apabila dipanggil menyertai skuad kebangsaan Bawah 23 Tahun dan beraksi di Kemboja, detik pertama beliau mendapat peluang membawa cabaran negara di pentas antarabangsa. Dalam perjalanan kariernya, Hanafie turut menjadikan tonggak pertahanan Sabah, Rawilson Batuil, sebagai antara sumber inspirasi kerana semangat juang, disiplin dan komitmen yang ditunjukkan ketika menyarung jersi Sang Badak.
Kini, perjalanan itu membawanya kembali ke tempat semuanya bermula. Kembali ke Sabah dan menyarung jersi negeri sendiri sebagai Rhino.
“Saya mahu memberikan sumbangan terbaik kepada pasukan dalam apa jua peranan yang diberikan. Saya akan terus bekerja keras dalam setiap sesi latihan dan sentiasa bersaing secara sihat dengan rakan sepasukan demi meningkatkan prestasi diri.”
“Terima kasih kepada semua penyokong Sabah FC atas sokongan dan kepercayaan yang diberikan. Saya berharap anda semua akan terus berdiri teguh di belakang pasukan. Sama-sama hadir ke Stadium Likas dan berikan sokongan tanpa henti dalam setiap perlawanan.”
Welcome Home, Hanafie Tokyo.




