Sabah FC terus memperkukuhkan benteng pertahanan bagi menghadapi cabaran musim 2026/2027 dengan kehadiran pemain Sepanyol, Kike Lopez (Enrique Lopez Fernandez), atau lebih dikenali sebagai Kadete.
Pemain kelahiran Madrid, Sepanyol itu hadir ke Kota Kinabalu selepas beraksi bersama CD Guadalajara dan bakal menyarung jersi bernombor 34 bersama Sang Badak.
Berketinggian 1.85 meter dan berkaki kiri, Kadete mampu beroperasi sebagai pertahanan tengah atau pertahanan kiri, sekali gus memberikan lebih banyak pilihan di barisan pertahanan Sabah FC musim ini.
Bagi Kadete, keputusan untuk meninggalkan Sepanyol dan menerima cabaran bersama Sang Badak bukan sekadar mengenai bola sepak. Ia adalah tentang peluang baharu, cabaran baharu dan menjadi sebahagian daripada sebuah kelab yang mempunyai sejarah panjang dalam bola sepak Malaysia.
“Saya melihat ini sebagai satu peluang yang sangat baik untuk terus berkembang dalam karier. Sabah merupakan sebuah kelab yang mempunyai sejarah panjang dalam bola sepak Malaysia dan menjadi sebahagian daripadanya adalah satu penghormatan buat saya.”
Keindahan Kota Kinabalu serta keunikan budaya Sabah turut menjadi antara faktor yang membuatkan Kadete yakin untuk memulakan lembaran baharu bersama keluarganya di bumi di bawah bayu.
Perjalanan karier pemain kelahiran Madrid ini pula telah membawanya merasai pengalaman bola sepak di beberapa negara. Namun, di sebalik perjalanan panjang itu, Kadete masih mengingati dua detik yang menjadi titik penting dalam kehidupannya sebagai pemain bola sepak — penampilan sulung sebagai pemain profesional dan jaringan pertamanya.
“Ketika membuat penampilan sulung sebagai pemain bola sepak profesional dan perasaan apabila menjaringkan gol pertama adalah sesuatu yang tidak mungkin saya lupakan.”
Tetapi ada satu lagi pengalaman yang kekal terpahat dalam ingatannya. Kadete dan pasukannya berjaya menewaskan pasukan yang ketika itu dibimbing legenda bola sepak Argentina berkenaan dalam perlawanan penentuan tersebut.
“Saya pernah bermain di beberapa negara di seluruh dunia, tetapi satu pengalaman yang akan saya ingati selamanya adalah ketika di Mexico. Kami bermain dalam perlawanan penentuan kenaikan divisyen menentang pasukan yang ketika itu dilatih Maradona dan kami berjaya menewaskan mereka. Itu sesuatu yang tidak akan saya lupakan.”
Kini, perjalanan bola sepaknya membawa Kadete ke satu destinasi baharu iaitu Sabah.
Perbualannya bersama ketua jurulatih mengenai kelab, suasana pasukan dan perancangan yang sedang dibina memberikan keyakinan kepada Kadete bahawa Sabah FC adalah pilihan tepat untuk meneruskan kariernya.
“Matlamat paling penting adalah untuk kami terus berkembang sebagai sebuah pasukan, kekal bersatu dan memberikan kemampuan maksimum dalam setiap perlawanan.”
Kepada seluruh penyokong Sang Badak, Kadete juga sudah tidak sabar untuk bertemu mereka dan merasai sendiri atmosfera sokongan di bumi Sabah.
“Saya sangat teruja berada di sini dan tidak sabar untuk bertemu anda semua! Saya akan memberikan yang terbaik untuk kelab dan juga para penyokong.”
A New Chapter Begins. Kike Lopez (Kadete) is a Rhino.




