Sabah Football Club

Kim Swee kecewa, Tomislav anggap satu mata umpama kemenangan

Kinabalu: Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee kecewa dengan permainan yang ditunjukkan anak-anak buahnya apabila melepaskan kelebihan dua gol untuk diikat Terengganu FC, 2-2 di Stadium Likas malam tadi.

Kim Swee berkata para pemainnya memberikan terlalu banyak ruang kepada pasukan lawan untuk mengawal permainan mengakibatkan mereka dihukum pada minit-minit akhir perlawanan sekaligus memadam peluang skuad badak untuk berada di tangga kedua Liga Super.

“Kita gagal menunjukkan permainan seperti mana yang kita lakukan sebelum ini. Saya percaya Terengganu bermain lebih baik terutama dalam mengawal perlawanan. Kita juga mempunyai beberapa peluang yang dicipta namun apabila kita mendahului 2-1 pada babak kedua, kita gagal menambah jaringan dan ini meletakkan tekanan kepada kita.

“Seperti saya katakan sebelum ini, Terengganu tewas dalam dua perlawanan sebelum ini dan pasti tidak mahu pulang tanpa sebarang mata. Kita perlu salahkan diri sendiri kerana membenarkan Terengganu berada dalam kawasan kita terlampau lama dan mengawal perlawanan dengan baik.

“Rizal Ghazali tidak dapat bermain kerana penggantungan, Park Taesu baru sahaja pulih dan Saddil Ramdani pula mengalami kecederaan namun pemain sedia ada melakukan tugas dengan baik apabila berjaya mendahului tetapi gagal mengawal perlawanan hingga bolos pada minit-minit akhir dan perkara ini perlu dielakkan kerana jika gol tidak berlaku pada separuh masa pertama, mungkin perlawanan akan jadi berbeza,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Sementara itu pengendali Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner gembira dengan satu mata yang berjaya dibawa pulang dan dia memuji barisan pemainnya yang kekal fokus dan tidak berputus asa meskipun ketinggalan dua gol.

Tahniah kepada pasukan saya kerana selepas ketinggalan dua gol, kami berjaya membawa pulang satu mata dan ianya umpama kemenangan dan umpama tiga mata bagi kami.

“Saya rasa pemain-pemain saya berhak mendapat satu mata kerana kami bermain baik dan kami adalah pasukan yang lebih baik pada beberapa tahap dalam permainan. Selepas gol pertama dan penalti kami kekal fokus dan tidak putus asa dan akhirnya berjaya membawa pulang satu mata,” jelasnya dalam sidang media selepas perlawanan.

Keputusan seri ini menyaksikan Sabah terlepas peluang naik ke tangga kedua sebaliknya turun ke tangga kelima dengan 21 mata manakala Terengganu kekal di tangga kesembilan dengan 14 mata selepas berakhir 11 perlawanan.