Sabah FC menambah kekuatan jentera serangan bagi menghadapi musim 2026/2027 dengan kehadiran pemain Korea Selatan, Park Jungbin, yang membawa bersamanya pengalaman luas beraksi di beberapa liga bola sepak Eropah dan Asia.
Pemain kelahiran Busan, Korea Selatan itu hadir ke bumi di bawah bayu selepas kali terakhir beraksi bersama Visakha FC di Kemboja dan bakal menyarung jersi bernombor 9 bersama Sang Badak.
Mampu beraksi sebagai penyerang tengah dan pemain tengah menyerang serta menggunakan kedua-dua belah kaki, Park hadir dengan pengalaman perjalanan karier yang cukup menarik.
Perjalanan bermula dari Jerman, Denmark, Switzerland, Korea Selatan, Perancis, Kemboja, dan kini Malaysia.
Sepanjang kariernya, Park pernah bersama beberapa kelab Eropah termasuk VfL Wolfsburg, Greuther Fürth, Karlsruher SC, Viborg FF, Hobro IK, Servette FC dan Rodez AF, selain pernah menyarung jersi FC Seoul di negara kelahirannya. Namun, antara detik terbesar yang kekal terpahat dalam ingatan Park hadir ketika usianya baru 18 tahun. Pentas Bundesliga. Allianz Arena. 71,000 penyokong. Di situlah Park membuat penampilan sulungnya dalam Bundesliga, satu detik yang disifatkannya sebagai pengalaman yang akan kekal bersamanya sepanjang hayat.
“Saya melalui akademi remaja bersama ramai pemain antarabangsa berkualiti dan mendapat pendedahan kepada bola sepak di tahap tertinggi sejak usia muda. Namun, kemuncaknya adalah apabila membuat penampilan sulung Bundesliga pada usia 18 tahun di Allianz Arena di hadapan 71,000 penonton. Perasaan itu akan kekal bersama saya selamanya.”
Perjalanan merentasi beberapa negara dan benua kemudiannya membentuk Park menjadi pemain yang lebih matang dan berpengalaman.
Antara satu lagi detik yang paling dibanggakannya adalah ketika meledak hatrik dalam saingan Liga Super Switzerland bersama Servette FC.
Kini, selepas melalui perjalanan panjang dalam dunia bola sepak, cabaran seterusnya membawa Park ke Sabah. Dan keputusannya untuk menyertai Sang Badak hadir selepas melihat sendiri cita-cita serta projek yang sedang dibangunkan Sabah FC.
“Sabah FC menawarkan satu projek yang hebat dengan cita-cita besar, ketua jurulatih yang berkualiti dan visi yang jelas. Saya mempunyai perbualan yang sangat baik bersama Coach Juan Torres yang menerangkan bagaimana beliau melihat peranan saya dalam pasukan dan saya sangat teruja menghadapi musim ini.”
Kota Kinabalu turut menjadi faktor yang menjadikan keputusannya untuk memilih Sabah satu pilihan yang cukup mudah, khususnya sebagai tempat untuk beliau dan keluarganya memulakan lembaran baharu.
Malah, Park bukanlah asing dengan cerita mengenai Sabah FC. Bekas rakan sepasukannya di FC Seoul, Ko Kwang-min, menjadi antara individu yang memberikan keyakinan kepadanya untuk menerima cabaran bersama Sang Badak.
“Kami pernah bermain bersama di FC Seoul dan saya mengikuti perjalanannya selepas itu. Ketika saya mempertimbangkan perpindahan ini, dia banyak bercerita mengenai kelab, penyokong yang begitu bersemangat dan kehidupan di Sabah. Ia benar-benar membuatkan saya lebih yakin untuk datang ke sini.”
Park tekad dan menetapkan misinya yang jelas bersama Sang Badak.
“Matlamat utama saya mudah, memenangi sebanyak mungkin perlawanan dan membantu pasukan berada pada kedudukan lebih baik. Saya mahu membawa kegembiraan, tenaga dan aksi bola sepak yang menarik setiap kali turun ke padang.”
Dan kepada seluruh penyokong Sang Badak, Park membawa satu janji dan pesanannya,
“Terima kasih atas sambutan yang begitu baik. Teruskan membawa semangat luar biasa anda untuk menyokong pasukan. Saya berjanji akan memberikan segala yang terbaik dalam setiap perlawanan dan berjuang demi lencana di dada untuk membuat anda semua bangga.”
A New Chapter Begins. Park Jung Bin is a Rhino.




