KOTA KINABALU, 21 Ogos 2026 — Sabah FC hari ini melancarkan jersi rasmi bagi musim 2026/2027 dalam satu majlis yang berlangsung di Sportmart Suria Sabah, Kota Kinabalu.
Pelancaran jersi baharu ini bukan sekadar memperkenalkan rekaan baharu untuk musim ini, tetapi turut membawa identiti, semangat dan aspirasi Sabah FC dalam menghadapi saingan musim baharu.
Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Sabah (SAFA), Datuk Awang Kadin Tang, berkata jersi tersebut melambangkan semangat perjuangan pasukan serta menjadi simbol kebanggaan kepada seluruh penyokong dan rakyat Sabah.
Menurut beliau, setiap kali pemain menyarung jersi Sabah FC, mereka bukan sahaja membawa nama kelab, malah turut membawa harapan dan kebanggaan seluruh rakyat Sabah.
“Jersi ini bukan sekadar pakaian sukan, tetapi lambang perjuangan dan kebanggaan negeri Sabah. Kami mahu para pemain memahami tanggungjawab yang hadir bersama jersi ini dan memberikan komitmen terbaik setiap kali turun ke padang,” katanya.
Dalam pada itu, SAFA turut merakamkan penghargaan kepada Carino sebagai penaja utama jersi Sabah FC bagi musim 2026/2027 atas kepercayaan dan komitmen yang diberikan kepada kelab.
Kerjasama tersebut dilihat sebagai satu langkah penting dalam memperkukuhkan lagi sokongan pihak korporat terhadap perkembangan bola sepak Sabah, selain membantu Sabah FC bergerak ke arah yang lebih profesional dan kompetitif.
Datuk Awang Kadin berkata musim baharu membawa cabaran dan peluang baharu kepada Sabah FC, dengan kelab komited untuk terus meningkatkan prestasi pasukan, memperkukuhkan struktur kelab serta memberi ruang kepada pembangunan bakat tempatan.
“Kami mahu Sabah FC bukan sahaja berjaya di atas padang, tetapi turut menjadi sebuah kelab yang boleh dibanggakan oleh seluruh rakyat Sabah,” katanya.
Beliau turut menyeru para penyokong Sabah FC agar terus memberikan sokongan kepada pasukan sepanjang musim 2026/2027.
“Sokongan penyokong di Stadium Likas dan di seluruh Sabah merupakan sumber kekuatan kepada pasukan. Kami berharap penyokong akan terus berdiri bersama Sabah FC dalam apa jua keadaan,” katanya.
Pelancaran jersi rasmi musim 2026/2027 ini turut disertai sesi Meet & Greet bersama pemain Sabah FC, yang memberi peluang kepada para penyokong untuk bertemu lebih dekat dengan barisan pemain.
SAFA berharap kerjasama bersama Carino, sokongan para penaja, rakan strategik, media dan para penyokong akan terus menjadi antara kekuatan utama dalam usaha membawa Sabah FC ke tahap yang lebih tinggi.




