KOTA KINABALU: Sabah FC memerlukan sokongan padu penyokong untuk menghadapi Kuching City FC dalam aksi “Borneo Derby” di Stadium Likas, esok (Sabtu), dengan Ketua Jurulatih, Juan Torres Garrido mengakui pasukannya amat memerlukan ‘tenaga tambahan’ selepas mengharungi jadual padat.
Garrido berkata kehadiran penyokong di Likas bukan sekadar untuk memberikan sokongan, tetapi mampu membantu pemain ketika berdepan detik-detik sukar sepanjang perlawanan.
“Kami perlukan stadium yang penuh untuk memberikan tenaga tambahan yang kami perlukan, membantu kami dalam detik-detik sukar dan bersama-sama menikmati saat-saat yang baik,” katanya ketika ditemu bual menjelang perlawanan.
Sabah hanya mempunyai tempoh rehat dua hari selepas aksi menentang Selangor FC, sebelum perlu kembali beraksi dalam satu lagi perlawanan penting menentang Kuching City.
Menurut Garrido, situasi itu menjadikan Borneo Derby kali ini satu lagi ujian besar buat pasukannya, terutama dari aspek kecergasan dan pemulihan pemain.
“Kami teruja untuk bermain dalam perlawanan ini. Ia satu lagi ujian hebat untuk kedua-dua pasukan, tetapi kami hadir dalam keadaan yang berbeza kerana baru bermain dua hari lalu dan ia menentang Selangor,” katanya.
Sabah perlu mengharungi tiga perlawanan dalam tempoh tujuh hari, termasuk berdepan dua pasukan yang disifatkan Garrido sebagai skuad berkualiti tinggi.
Beliau mengakui jadual berkenaan menuntut tenaga yang besar daripada pemain, apatah lagi ia berlaku pada peringkat awal musim.
“Kami perlu bermain tiga perlawanan dalam tujuh hari menentang dua pasukan yang hebat dan ia datang sangat awal dalam musim ini.
“Perlawanan terakhir serta minggu latihan kami menuntut banyak tenaga dalam keadaan yang kurang ideal. Kami berharap ia tidak menjejaskan keadaan pemain untuk menghadapi perlawanan seterusnya,” katanya.
Bagaimanapun, Garrido menegaskan keadaan pemain sentiasa dipantau dari hari ke hari bagi memastikan pasukan dapat melakukan persiapan terbaik.
Beliau turut menjelaskan bahawa penggunaan pemain berbeza tidak semestinya dianggap sebagai rotasi semata-mata, sebaliknya lebih kepada strategi perlawanan dan tenaga yang diperlukan untuk mengekalkan tempo permainan Sabah.
“Kami tidak melihatnya sebagai rotasi. Pendekatan kami lebih berkaitan dengan strategi perlawanan dan tenaga yang diperlukan untuk melaksanakan tempo permainan yang kami mahukan.
“Setiap perlawanan dan setiap minit permainan adalah peluang untuk pemain menunjukkan bahawa mereka selari dengan idea kami,” katanya.
Mengulas mengenai Kuching City, Garrido mengakui lawan mereka mempunyai skuad yang kuat selepas mencatat prestasi baik musim lalu dan kini memiliki barisan pemain yang lebih mendalam untuk menghadapi beberapa pertandingan.
Katanya, persaingan dalaman dalam skuad Kuching City juga dijangka mendorong setiap pemain yang diberi peluang untuk membuktikan kemampuan masing-masing.
“Mereka adalah pasukan yang hebat musim lalu dan kini mempunyai skuad yang sangat mendalam untuk menghadapi beberapa pertandingan. Ini mewujudkan persaingan dalaman yang kuat.
“Jadi, pemain yang mendapat peluang bermain pastinya akan cuba membuktikan bahawa mereka layak mendapat minit permainan tersebut,” katanya.
Dalam masa sama, Garrido berkata kehangatan Borneo Derby sudah mula dirasai dalam kalangan pemain tempatan dan penyokong Sabah.
“Kami bermotivasi untuk Borneo Derby ini. Kami dapat merasakannya daripada pemain tempatan dan kami juga dapat merasakan penyokong kami begitu,” katanya.
Sabah sudah tiga kali beraksi di laman sendiri musim ini dan Garrido mengakui sokongan penyokong yang hadir ke Likas sentiasa memberikan suasana positif kepada pasukan.
Justeru, beliau berharap lebih ramai penyokong hadir bagi membantu Sabah menghadapi cabaran selepas tempoh rehat yang singkat.
“Pada ketika ini, kami perlukan penyokong untuk memberikan kuasa tambahan yang kami perlukan selepas hanya dua hari berehat daripada perlawanan terakhir,” katanya.
Garrido mahu melihat Sabah turun dengan tenaga, sikap positif dan cita-cita, sambil berharap penyokong dapat menikmati satu lagi aksi menarik di Likas.
“Tenaga, sikap positif, cita-cita dan menikmati perlawanan yang baik. Kami berjanji mereka akan menikmati masa yang hebat,” katanya.
Borneo Derby kali ini bukan sahaja menemukan dua pasukan dari Borneo, tetapi turut menguji sejauh mana Sabah mampu mengekalkan intensiti selepas jadual padat.
Dan Garrido tahu, dalam keadaan itu, sokongan dari Likas mungkin menjadi tenaga tambahan yang amat diperlukan Sabah untuk mengharungi 90 minit menentang Kuching City.




