KOTA KINABALU, 12 Oktober 2026 – Sabah FC menyatakan sokongan terhadap usaha memperkasa golongan penjaga (carers) di Sabah menerusi sumbangan sehelai jersi berbingkai dan sebiji bola perlawanan yang ditandatangani pemain kelab itu.
Sumbangan tersebut diserahkan kepada Persatuan Sokongan Penjagaan Sabah (PSPS) dalam satu majlis di Bilik Mesyuarat Persatuan Bolasepak Negeri Sabah (SAFA), pada hari Isnin, 12 Oktober 2026.

Kedua-dua barangan berkenaan akan dilelong pada Majlis Makan Malam Gala VIVA! Carefest 2026 di ITCC Penampang pada 6 November ini, dengan hasil lelongan disalurkan bagi menyokong usaha PSPS menyediakan latihan bertauliah dan peluang kerjaya dalam bidang penjagaan.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sabah FC, Mohd Syazwan Imran, berkata sumbangan itu merupakan sebahagian daripada usaha kelab untuk turut menyumbang kepada masyarakat, selain memberi tumpuan kepada pembangunan bola sepak.
Setiap kali perlawanan, rakyat Sabah berdiri di belakang kelab ini. Hari ini, giliran kami pula berdiri di belakang rakyat Sabah
Mohd Syazwan Imran

Menurut beliau, Sabah FC dan PSPS mempunyai matlamat berbeza, namun berkongsi hasrat untuk membangunkan potensi anak muda Sabah. Jika Sabah FC melahirkan pemain bola sepak, PSPS pula membantu anak muda, khususnya dari kawasan luar bandar, mendapatkan latihan dan membina kerjaya dalam bidang penjagaan.
Beliau berkata, sokongan terhadap PSPS juga penting memandangkan golongan penjaga memainkan peranan dalam membantu warga emas, pesakit dan keluarga yang memerlukan khidmat penjagaan. Sabah FC berharap sumbangan itu dapat membantu usaha PSPS mendapatkan dana serta menggalakkan lebih banyak pihak tampil menyokong inisiatif berkenaan.




