Sabah Football Club

Tidak risau meskipun 4 tonggak utama Sabah FC alami kecederaan

Empat tonggak utama Sabah FC mungkin tidak dapat diturunkan pada perlawanan Liga Super menentang Sri Pahang FC, ahad ini di Stadium Darul Makmur.
 
Ketua Jurulatihnya, Datuk Ong Kim Swee berkata mereka termasuklah Telmo Castanheira, Gabriel Peres, Jailton Da Silva dan Darren Lok selepas mengalami kecederaan pada perlawanan menentang Kuching City FC, isnin lalu.
 
Katanya beliau tidak begitu bimbang kecederaan mereka kerana ada beberapa pemain bersedia untuk mengisi tempat mereka sekali gus mampu memberikan persaingan hebat menjelang perlawanan nanti.
 
“Kita akan lihat perkembangan mereka ini….Jadi saya hanya dapat tentukan mereka dapat diturunkan ataupun tidak selepas latihan esok…Kita masih mempunyai lebih kurang 48 jam sebelum bertemu pasukan Sri Pahang. “Secara keseluruhannya, pemain-pemain lain berada dalam keadaan amat baik…Saya percaya kecergasan mereka dalam tahap yang cukup tinggi, di mana setiap pemain yang diturunkan tak kira pada kesebelasan utama ataupun dimasukkan pada masa gantian mampu menunjukkan tahap kecergasan yang cukup bagus,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mengulas mengenai gandingan Saddil Ramdani dan Darren Lok, Kim Swee berkata, kedua-dua pemain ini bukan sahaja menunjukkan kombinasi yang baik tetapi mereka berjaya mendapatkan gol serta bermain dengan begitu baik pada setiap perlawanan.
 
“Kedua-dua mereka sangat serasi….Walaupun mereka ini baru digandingkan bersama-sama dalam beberapa perlawanan tetapi prestasi mereka cukup baik. Begitu juga dengan pemain-pemain lain juga dilihat sangat komited dengan menunjukkan satu prestasi yang cukup baik.
 
“Jadi saya harap agar semua pemain dapat mengekalkan rentak persembahan yang baik disamping mampu menunjukkan prestasi cemerlang mereka untuk perlawanan-perlawanan seterusnya,” katanya.