Sabah Football Club

Sabah FC Logo

Tugas Sukar, Tanpa Aksi Tiga Tonggak Suku Akhir Piala FA Di Likas

Sabah FC turun beraksi tanpa tiga tonggak penting pada perlawanan Suku Akhir, Piala FA menentang Kuala Lumpur City FC di Stadium Likas malam esok.

Pengendalinya, Datuk Ong Kim Swee berkata Saddil Ramdani, Kwang Min Ko dan Irfan Zakaria masih berada dalam senarai kecederaan kemungkinan besar tidak dapat beraksi pada perlawanan esok.

Katanya, perlawanan esok sangat berbeza kerana ia merupakan suku akhir Piala FA sistem kalah mati sekali gus memerlukan Sabah FC memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri.

“Apa yang pasti Saddil tidak dapat beraksi malam esok….Kwang Min Ko serta Irfan Zakaria baru saja pulih daripada kecederaan. Saya pantau tahap kecergasan mereka dan berharap mereka dapat pulih sepenuhnya untuk bersama-sama pasukan kita esok.

“Kita harus mengambil kesempatan bermain di tempat sendiri untuk memastikan layak ke peringkat seterusnya. Sudah tentu keinginan kita ingin melangkah ke peringkat seterusnya.

“Esok pemain perlu fokus….Jangan terlalu memikirkan ke peringkat lain, esok adalah perlawanan yang cukup penting, saya tidak ingin pemain memikirkan tentang untuk layak ke separuh akhir sehingga hilang fokus pada perlawanan, “ katanya dalam kenyataan media hari ini.

Kim Swee berkata Sabah FC perlu mengelak tewas di Likas terutama di hadapan penonton sendiri, malah mereka perlu menjalankan tugas sekali gus membuktikan layak ke peringkat seterusnya.

Ketika mengulas mengenai persiapan malam esok Kim Swee berkata, beliau yakin prestasi para pemain kini berada pada tahap memberangsangkan selepas mencatat kemenangan menentang Perak FC minggu lalu.

Menurutnya perlawanan dalam saingan Liga Super serta Piala FA sangat berbeza kerana ini merupakan perlawanan suku akhir dan menuntut komitmen tinggi dalam kalangan pemain apabila beraksi di laman sendiri.

“Kita harus memperbaiki lagi daripada segi bertahan ataupun di bahagian pertahanan. Semua pemain harus faham di mana kita tidak boleh sentiasa dibolosi pada setiap perlawanan.

“Jika kita mampu mengawal permainan dengan baik serta bertahan dengan baik, saya percaya kita mempunyai peluang yang cukup baik untuk layak ke peringkat seterusnya malam esok,” katanya.