Sabah FC bertekad bangkit mencapai keputusan positif menentang Kedah Darul Aman FC sebagai hadiah menebus kekecewaan dalam saingan suku akhir FA minggu lalu.
Pengendalinya, Datuk Ong Kim Swee berkata, kekalahan tempoh hari sudah tentu mengecewakan semua pihak namun bagi pemain mereka perlu faham serta harus bangkit semula malam esok.
“Para pemain faham mereka tiada pilihan kecuali harus bangkit semula.
“Biarpun merupakan perlawanan liga dan amat berbeza, namun ini merupakan kesempatan terbaik untuk kita bangkit semula mendapatkan keputusan positof di Alor Setar pada malam esok,” kata Kim Swee.
“Kita tahu bermain di Stadium Darul Aman Alor Setar bukan satu perlawanan yang mudah, namun saya percaya pemain boleh mempamerkan aksi terbaik mereka dengan sebaik mungkin.
“Kita tahu pasukan Kedah kebelakangan ini bertambah baik dan mereka mempunyai corak permainan yang cukup agresif ketika beraksi di tempat sendiri dan kita harus waspada pada perlawanan nanti.
“Sasaran utama kita adalah untuk mengekalkan apa yang telah kita lakukan dalam saingan liga sebelum ini dengan memastikan keputusan positif dapat dicapai malam esok,” katanya dalam kenyatan media hari ini.
Kim Swee berkata, rekod tidak tewas dalam enam perlawanan liga super sebelum ini perlu dikekalkan dengan memastikan Sabah FC tidak akan kehilangan mata pada perlawanan nanti.
Ketika mengulas mengenai kecederaan beberapa pemain utama Kim Swee berkata, ketika ini Saddil Ramdani dan Darren Lok masih belum dapat diturunkan dalam kesebelahan utama akibat mengalami kecederaan.
“Kita tidak perlu risau kerana masih ada pemain lain boleh menggantikan serta menggalas tugas sebagai pemain utama ketika menentang Kedah Darul Aman malam esok.
“Saya percaya pemain lain yang berada di dalam Sabah FC mampu menggalas tugas jika mereka diturunkan. Apa yang penting fokus serta berusaha membantu mencapai keputusan positif nanti,” katanya.