Sabah Football Club

Sabah FC Logo

Sabah FC Masih Di Landasan Tepat

Ketua Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee sedar pasukannya tewas kepada lawan yang lebih baik namun yakin skuad badak masih berada di landasan tepat dan belum terlambat untuk memperbaiki kedudukan dalam Liga Super.

Sabah FC kini turun ke kedudukan kelima Liga Super susulan kekalahan 1-2 kepada Kedah Darul Aman FC pada aksi di Alor Setar Jumaat malam.

Bagaimanapun, beliau yakin pasukannya akan bangkit semula pada saingan kedua liga selepas ini.

“Kita kalah kepada pasukan yang lebih baik dan harus akur dan pastikan kelemahan dibaiki. Kita perlu terima yang kita belum cukup baik untuk menyaingi Kedah dalam perlawanan ini tetapi percaya kita akan lakukan lebih baik dan bangkit dari kekalahan ini.

“Saya rasa kita tidak begitu jauh ke belakang kerana dalam pusingan pertama Sabah FC hanya tewas tiga kali dan kesemuanya di tempat lawan.

“Apa yang penting selepas ini adalah kita perlu bangkit dan mendapat mata di tempat lawan dan kekalkan rekod di Stadium Likas. Kita masih di landasan yang betul dan masih belum terlambat untuk memperbaiki kedudukan,” katanya ketika sidang media selepas perlawanan.

Sementara itu, Kim Swee juga mengakui permainan Sabah sedikit terganggu apabila Jailton Paraiba terpaksa diusung keluar akibat kecederaan yang menyaksikan Kedah berjaya mengambil kesempatan atas situasi yang tidak diingini itu.

“Ketiadaan Jailton sedikit sebanyak mengganggu rentak permainan. Kita berjaya kawal keadaan hanya sementara tetapi Kedah mengawal perlawanan dengan lebih baik.

“Mereka mempunyai individu yang boleh lakukan sesuatu dalam keadaan ‘tight situation’ dan ini memberi mereka peluang yang lebih baik dan mereka dapat samakan kedudukan seterusnya gol kemenangan pada separuh masa kedua.

Mengenai Saddil Ramdani, Kim Swee menjelaskan bahawa pemain itu masih dalam fasa pemulihan.

“Saddil masih perlu beberapa minggu untuk pulih sepenuhnya dan kami akan berikan rawatan yang lebih baik dan harap dia pulih sepenuhnya selepas kalendar Fifa bersama Indonesia,” jelasnya.

Sabah FC akan memulakan aksi pusingan kedua menentang PDRM FC di tempat lawan pada Rabu dan ini adalah peluang untuk bangkit namun mereka mahu berhati-hati dan tidak memandang rendah keupayaan lawan.