Sabah Football Club

Sabah FC Logo

Saingan Piala Malaysia: Sabah FC awasi kebangkitan Kuching City FC pada pertemuan 5 Ogos ini

Sabah FC tidak memandang rendah keupayaan Kuching
City FC menjelang pertemuan pertama kedua-dua kelab dalam saingan Piala Malaysia pada 5 Ogos ini di Stadium Negeri Kuching Sarawak.

Pengendalinya, Datuk Ong Kim Swee berkata saingan pasti sengit lebih-lebih lagi Kuching City kini mempunyai jurulatih baharu, Aidil Sharin Sahak.

Katanya persaingan tentu berbeza dengan kehadiran jurulatih baharu sekaligus memerlukan Sabah FC lebih bersiap sedia dalam pertembungan ‘Borneo Derby’ ini nanti.

“Ini perlawanan pertama di tempat lawan dan merupakan kali ketiga Sabah FC menentang Kuching City FC.

“Seperti kebiasaannya pertembungan Borneo Derby ini memang banyak persaingan di antara kedua-dua kelab…Saya jangkakan juga perlawanan ini nanti cukup sengit terutama Kuching City FC dengan kehadiran jurulatih baru mereka.

“Sudah pasti mereka mempunyai perancangan terbaik bagi memastikan Sabah FC tidak mendapat mata penuh apabila bermain di sana nanti,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Ketika mengulas ketiadaan Sadil Ramdani, Cifuentes serta Darren Lok mungkin akan mengganggu sedikit persiapan Sabah FC Kim Swee berkata, pihaknya masih mempunyai masa yang cukup untuk menentukan pengganti ketiga-tiga pemain tersebut.

“Mereka mengalami kecederaan hampir dua minggu selepas perlawanan dengan Kuching City di sini (Kota Kinabalu) tempohari.

“Darren dan Park masih cedera selepas perlawanan menentang Penang FC, namun sudah tentu kita ada pemain lain bersiap sedia untuk menggalas tugas dengan sempurna nanti,” katanya.

Kim Swee juga mengakui setakat ini Sabah FC sudah dibolosi 25 gol namun dalam tempoh sama masalah ini sudah mula diatasi selepas pusingan kedua bermula.

“Ini merupakan salah satu kelemahan kita….Jika dilihat pada pusingan kedua selepas perlawanan menentang Kuching City kita berjaya memperbaiki daripada dibolosi melebihi daripada satu gol.

“Apa yang penting kita akan terus memperbaiki kelemahan sedia ada di mana Sabah FC cuba tidak dibolosi banyak gol pada setiap perlawanan,” katanya.