Sabah Football Club

Sabah FC Logo

Sabah manfaat aksi antarabangsa berdepan Brunei sebagai persiapan ke Piala AFC

News sources are taken from Flash Sukan, written by Firdaus Johari.

SABAH FC kini berada di Bandar Seri Begawan bagi menghadapi perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Brunei Darussalam pada Rabu dan mahu menggunakan aksi ini sebagai persiapan menghadapi kejohanan Piala AFC.

Sabah yang melakukan debut dalam pertandingan Asia diundi dalam Kumpulan H bersama-sama kelab Vietnam, Haiphong FC, wakil Singapura, Hougang United dan PSM Makassar dari Indonesia.

Pembantu Jurulatih Sabah FC, Rastislav Bozik juga mahu memberikan peluang kepada para pemain yang kurang mendapat minit permainan selepas beberapa pemain utama dipanggil ke tugasan skuad kebangsaan.

“Perlawanan ini sangat penting kerana kami mempunyai rehat yang panjang dalam liga dan juga untuk memberikan pemain yang kurang mendapat minit permainan peluang untuk beraksi selepas beberapa pemain utama kami dipanggil mewakili skuad kebangsaan Malaysia dan Indonesia.

“Saya mahu pemain menganggap ini adalah perlawanan yang serius dan bukan perlawanan biasa kerana ianya penting sebagai persiapan kami untuk bersaing di Piala AFC meskipun kami akan beraksi tanpa beberapa pemain utama,” katanya dalam sidang media pra perlawanan.

Sementara itu kapten pasukan Sabah FC, Khairul Fahmi Che Mat turut senada dengan penolong jurulatihnya dan menganggap perlawanan persahabatan antarabangsa ini baik buat dia dan rakan-rakan sepasukan melakukan persiapan sebelum bersaing di Piala AFC.

“Ini adalah perlawanan yang bagus buat kami kerana kami akan bermain di peringkat Piala AFC dan perlawanan pada tahap antarabangsa ini adalah persiapan yang baik buat Sabah FC,” jelasnya dalam sidang media yang sama.

Perlawanan ini juga akan dijadikan persiapan buat pasukan kebangsaan Brunei yang bakal bertemu Indonesia dalam pusingan pertama kelayakan Piala Dunia FIFA 2026.

Jurulatih Brunei, Mario Rivera menyambut baik perlawanan ini kerana ini adalah perlawanan pertama buat skuad Tebuan tahun ini di laman sendiri dan mahu para penyokong hadir memberikan sokongan.

“Kita akan menggunakan perlawanan ini sebagai persediaan sebelum menghadapi Indonesia dan Sabah FC adalah pasukan yang baik kerana kita tahu kualiti yang ada pada mereka kerana bersaing di Liga Malaysia yang kompetitif,” katanya.