Sabah Football Club

Sabah FC Logo
U-19 Manager Jamawi Jaafar

Tanggungjawab besar lahirkan barisan pelapis kepada Sabah FC

Sabah FC U-19 Manager, Mr Jamawi Jaafar.

KOTA KINABALU: Pengurus Pasukan Bawah 19, Sabah FC yang baru dilantik, Jamawi Jaafar kini memberi fokus untuk menerapkan barisan terbaik bagi menyediakan barisan pelapis kepada pada skuad Piala Belia Sabah FC musim depan.

Katanya, usaha ini sekaligus akan dapat membentuk satu pasukan terbaik untuk diserapkan sebagai pemain Bawah 22 serta skuad senior Sabah FC pada musim depan.

“Ini merupakan langkah pertama yang akan kita lakukan. Saya akan memantau dan akan terus melihat perkembangan pemilihan ini supaya kita akan dapat satu pasukan yang boleh diketengahkan.

“Kita sudah selesai pertandingan Bawah 18 Tahun Piala Datuk Seri Bung Moktar Radin. Ini kita lihat sebagai platform untuk memilih pemain mewakili skuad Sabah FC Bawah 19 Tahun kelak.

“Kita akan menjalani pemilihan latihan pusat pada 20 – 22 Disember dan 27 – 29 Disember ini dibahagikan kepada dua fasa,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Jamawi berkata tanggungjawab ini begitu besar dalam usaha menyediakan skuad pelapis kepada pasukan Sabah FC sekali gus mengharapkan kerjasama daripada semua pihak bagi menjayakan matlamat ini.

“Saya ucapkan berbanyak terima kasih kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin dan juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sabah FC, Khairul Firdaus Akhbar atas kepercayaan sekaligus melantik saya sebagai Pengurus pasukan Piala Belia Bawah 19 Tahun untuk musim 2022,” katanya.