Sabah Football Club

Saddil Ramdani sah bersama Sabah FC, jalani latihan 13 Januari ini.

Saddil Ramdani

KOTA KINABALU: Pemain Import Indonesia, Sabah FC Saddil Ramdani menamatkan teka-teki untuk terus kekal bersama-sama The Rhinos bagi mengharungi Liga Malaysia 2022 musim ini.

Pengurusnya Marzuki Nasir berkata, Saddil mengesahkan sendiri status itu sekali gus akan komited bersama Sabah FC serta akan menyertai kem latihan pada 13 Januari ini selepas selesai menjalani kuarantin wajib ketika ini di Kuala Lumpur.

Pengurus Sabah FC, Marzuki Nasir.

Katanya Sabah FC mengesahkan ada menerima permohonan dari satu kelab Serbia melalui seorang agen bagi melepaskan Saddil namun permintaan tersebut ditolak berikutan kelab tersebut mahukan Saddil secara percuma tanpa sebarang yuran perpindahan.

“Kita tidak boleh menerima permintaan tersebut disebabkan kesuntukan masa untuk mencari pengganti kuota pemain import Asia Tenggara yang sememangnya bukan mudah kerana kebanyakan liga di Asia Tenggara akan bermula tidak lama lagi

“Sekiranya kontrak masih ada, proses perpindahan tidak boleh dilakukan secara percuma kerana dalam industri bola sepak profesional perlu ada yuran perpindahan (transfer fee) yang tetapkan dan dipersetujui kedua-dua kelab.

“Disebabkan itu kita tolak….Sabah FC memerlukan dana apabila sign pemain baharu….Kita juga perlu bayar yuran agen termasuk yuran pengurusan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas selesai sesi latihan skuad badak di Stadium Likas, Kota Kinabalu petang tadi.

Mengulas mengenai sesi latihan Sabah FC, Marzuki berkata hari ini merupakan sesi latihan pertama buat tiga tonggak pasukan kebangsaan iaitu Baddrol Bakhtiar, Rizal Ghazali dan Dominic Tan dan mengharapkan kehadiran mereka mampu menguatkan pasukan untuk menghadapi Liga Malaysia tahun ini selain gembira dengan persiapan awal yang dilakukan sekaligus mewujudkan keserasian dalam kalangan pemain.

“Perubahan ini semakin ketara dan sekarang hanya menunggu beberapa pemain lain serta pemain-pemain import yang akan datang dalam masa terdekat,” katanya.

Ketika ditanya mengenai sasaran Sabah FC tahun ini Marzuki berkata, masih terlalu awal untuk Sabah FC menetapkan sasaran pada perjalanan Liga Malaysia musim 2022.

“Kita akan tetapkan sasaran tetapi apa yang boleh saya katakan musim ini Sabah FC melakukan persediaan awal yang cukup baik disamping memiliki gandingan pemain yang cukup baik berbanding tahun lepas,” katanya